Gambar PKPK/UUM Today
SINTOK: Bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan Universiti Utara Malaysia (UUM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dengan kerjasama Pusat Kaunseling dan Pembangunan Kerjaya (PKPK) UUM telah mengadakan ceramah kerjaya di Dewan Seminar A, SMMTC, baru-baru ini.
Sesi ceramah dimulakan dengan slot pertama oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), Tengku Zarina Tengku Chik, diikuti slot bersama Ketua Pegawai Operasi, Sustainable Finance Institute Asia, Nik Yazmin Nik Azman dan Ketua Kewangan Korporat, Alliance Islamic Bank Berhad, Tee Kok Wah yang dikendalikan oleh moderator, Ehon Chan, Partner, Retrospective Discovery LLP.

Slot ketiga bersama Sarimah Ramthandin, Head and Director of Innovation, Advisory & Industry Engagement, SIDC dan diakhiri dengan sesi perkongsian menarik oleh Mohd Radzuan Ahmad Tajuddin, dari World Bank Group Malaysia.
Ceramah kerjaya ini dianjurkan sempena Program InvestED yang merupakan pelan hala tuju pembinaan kapasiti berskala besar dan pelbagai aspek yang direka untuk memupuk individu berbakat yang berpotensi menjadi generasi peneraju seterusnya dalam pasaran modal Malaysia.
Melalui InvestED, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) telah memperkenalkan satu program NextGen Capital Market dengan kerjasama antara institusi pasaran modal dan universiti yang dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam pasaran modal.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi; Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin dan Pengarah PKPK, Dr. Fikriyah Abdullah. – Anis Zulaikha Kamal