KUALA LUMPUR – CGS-CIMB Securities Sdn Bhd menawarkan tempat untuk pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menjalani latihan praktikal dan menggunakan platform pelaburan di tempatnya bagi membiasakan pelajar mahir bidang pelaburan saham dan kewangan.
Sehubungan itu, UUM melalui Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) dan CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan menandatangani MoU ini bagi pihak UUM dan CGS-CIMB Securities pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azizah Mohd Yatim.
Terdahulu dalam ucapannya Naib Canselor berharap dengan terjalinnya MoU ini kedua-dua pihak dapat bekerjasama bagi membantu pelajar di UUM.
“Jalinan kerjasama antara CGS-CIMB Securities dan SEFB UUM ini pastinya dapat membuka lambaran baru bukan sahaja dalam mendedahkan pelajar dalam bidang celik kewangan malah memberi peluang kepada pelajar kampus ini untuk bekerja dan menjalani latihan praktikal nanti.

“Saya juga menjemput pihak CGS-CIMB Securities itu bersama-sama dengan tenaga akademik dan pelajar kami untuk berkumpul bagi mempertingkatkan ilmu dan berkongsi pengalaman,” katanya.
Sementara itu Azizah Mohd Yatim berharap dengan MoU ini hubungan dengan pihak UUM pastinya dapat menyerlahkan lagi bidang kewangan di negara ini.
“Kami yakin dan percaya dengan jalinan ini bukan sahaja dapat membantu dan memberi peluang kepada pelajar UUM, malah dapat memperkenalkan celik kewangan ini kepada warga kampus dan masyarakat sekeliling nanti,” katanya.
Turut hadir Dekan SEFB , Profesor Madya Dr Bakti Hasan Basri dan Pensyarah Kanan SEFB UUM Afiruddin Tapa.
