UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

CIAC, UUM dan LTA jayakan Program USR dan KTP

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Amierul Husniey Che Abd Rahman dan Mohd Azri Abdul Aziz

Gambar CIAC/UUM Today

LANGKAWI, 28 Januari – Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan pelajar mobiliti ‘inbound’ semester pertama A231 sesi 2023/2024, pelajar antarabangsa sepenuh masa, perwakilan UUM Global Buddies Club, perwakilan UUM International Student Society (ISS) serta staf pelawat dari West University of Timișoara, Romania telah menjayakan program ‘University Social Responsibility‘ (USR) dan ‘Knowledge Transfer Program‘ (KPT) di Pulau Langkawi.

Program yang mendapat kerjasama Langkawi Tourism Academy@Kolej Komuniti Langkawi (LTA) itu disertai 40 delegasi UUM dan kehadiran mereka telah disambut oleh Pengarah LTA, Haslinda Abd Hamid.

Haslinda berkata, pihaknya sangat berbesar hati menerima delegasi dari UUM dan mengharapkan kerjasama ini terus berterusan di masa akan datang.

Menurutnya, Program USR di LTA melibatkan pembinaan ‘woodball fairways‘ sebagai persediaan LTA yang akan menjadi tuan rumah bagi pertandingan ‘woodball‘ peringkat nasional pada 2 dan 3 Mac 2024.

Katanya, dijangkakan keseluruhan kolej komuniti di Malaysia akan menyertai pertandingan ‘woodball’ tersebut.

Sementara itu, pelajar Semester 1, Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Teknologi Maklumat), Yonis Abdikadir Gurhan berkata, beliau tidak pernah mengetahui dan mendengar mengenai permainan ‘woodball‘ ini.

“Saya dan rakan-rakan lain juga berpeluang mencuba permainan ini dan ianya agak mencabar. Ini merupakan pengalaman pertama dan ilmu baharu yang saya dapat timba melalui program yang dianjurkan bersama oleh CIAC dan LTA,” katanya dari Pusat Pengajian Pengkomputeran yang berasal dari Somalia.

Timbalan Pengarah (Penglibatan Antarabangsa), CIAC, Prof. Madya Ts. Dr. Norliza Katuk yang mengetuai delegasi UUM mengucapkan jutaan terima kasih di atas peluang kolaborasi yang telah diberikan oleh pihak LTA.

“Program seperti ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar mobiliti dan antarabangsa serta meningkatkan peluang interaksi mereka bersama komuniti tempatan bagi memahami bahasa, budaya dan makanan tempatan. Ianya akan dijadikan sebagai program tahunan CIAC buat pelajar antarabangsa,” katanya.

Turut berlangsung “ChatGPT untuk Perniagaan Kecil” yang telah disampaikan oleh Dr. Norliza yang juga Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengkomputeran.

Seramai 15 peserta yang merupakan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dan warga LTA telah mendaftar bagi program KTP tersebut yang diadakan di Makmal Komputer, LTA.

Program KTP ini dianjurkan bagi memberikan pendedahan mengenai ChatGPT dan berobjektifkan untuk mengaplikasikan pengunaan ChatGPT di dalam perniagaan masing-masing.

Encik Rizal Jasman yang merupakan Pengurus, Uniqraft Works dan mengusahakan perniagaan batik di Pulau Langkawi memaklumkan beliau tidak pernah mengetahui mengenai fungsi dan kebaikan ChatGPT. Beliau bersyukur dapat menyertai sesi KTP anjuran bersama UUM dan LTA ini kerana ilmu yang dipelajari amat berharga dan boleh membantu dalam urusan perniagaan seharian.

CIAC berharap lebih banyak peluang kerjasama yang bakal dapat diwujudkan dengan pihak LTA di masa akan datang.