Changlun: Orang Malaysia dan cili memang tidak dapat dipisahkan memandangkannya merupakan bahan utama dan menyedapkan masakan jadi cili atau nama saintifiknya Capsicum Spp terus mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran.
Pensyarah dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), UUM Dr. Rozana Samah berkata, dalam usaha menyediakan lebih banyak peluang pertanian komuniti yang meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat melalui peningkatan pendapatan dan pengeluaran cili, projek penanaman fertigasi cili iaitu Development of Modern Agriculture Community (D’MAC) diperkenalkan.
“D’MAC merupakan Inisiatif Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).
“Projek Komuniti Tanaman Cili Fertigasi berupaya menjadi pemangkin kesejahteraan masyarakat setempat dan keterjaminan makanan negara,” ujarnya yang juga Ketua Projek D’MAC.

Sistem tanaman fertigasi merupakan teknologi tanaman yang mengaplikasikan pemberian baja (fertilizer) melalui sistem pengairan (irrigation). Kaedah ini dapat meningkatkan kecekapan tanaman dalam penyerapan nutrien kerana tahap ketersediaan nutrien di dalam sistem ini adalah tinggi.
Aplikasi teknologi fertigasi yang sistematik mempunyai banyak kelebihan antaranya meningkatkan produktiviti dan kualiti cili, mengoptimumkan penggunaan tanah, mengurangkan kos operasi dan penggunaan tenaga buruh.
Jelasnya, D’MAC merupakan inisiatif perusahaan sosial yang bertujuan memindahkan teknologi pertanian moden iaitu fertigasi cili kepada masyarakat setempat bagi membantu meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat luar bandar.
Dr. Rozana mempunyai latar pendidikan dalam bidang perniagaantani justeru, projek ini sinonim dengan dirinya dalam menyumbang bakti kepada komuniti.
“Sasaran projek ini ialah memindahkan pengetahuan tentang fertigasi, pengurusan kewangan dan pemasaran digital. Selain itu, projek ini juga menyasarkan peningkatan pendapatan peserta sebanyak RM700 sebulan apabila mereka menanam cili fertigasi ini.

“Projek ini telah bermula secara berperingkat sejak Oktober 2022. Peserta dikenalpasti dengan bantuan Penghulu di setiap Mukim yang terlibat dengan memberi keutamaan kepada belia yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan.
“Projek ini melibatkan 20 peserta di sekitar Mukim Temin dan Mukim Sungai Laka di Changlun, Kedah. Setiap peserta projek menerima sistem fertigasi lengkap untuk 300 polibeg tanaman cili.
Menurutnya, projek ini bukan semata-mata memindahkan teknologi pertanian moden tersebut kepada kumpulan sasaran tetapi turut dilengkapi dengan pemindahan ilmu dari segi pengurusan kewangan dan pengurusan pemasaran digital.

“Justeru, melalui projek ini satu proses pemindahan ilmu yang komprehensif dapat dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan projek yang berterusan pada masa hadapan seterusnya mencapai objektif dalam membangunkan komuniti pertanian moden,” ujarnya.
Projek ini turut dijayakan oleh Ketua Program Perusahaan Sosial MoF-UUM, Prof. Dr. Mukaramah Harun, Prof. Madya Dr. Roslina Kamaruddin dari Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECoFI) dan rakan strategik industri, syarikat AMM Agrofarm.