UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

CSR dekatkan pelajar MBA OYAGSB UUM dengan komuniti

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Dr. Nazahah Abd Rahim

Gambar MBA OYAGSB/UUM Today

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bukan sahaja merupakan satu komitmen sesebuah organisasi terhadap masyarakat, malahan ia merupakan tanggungjawab setiap individu terhadap setiap makhluk bernyawa di muka bumi ini.

Atas dasar ini, pelajar MBA Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) melalui kursus OMMU6013 Business Ethics, CSR and Sustainability mengambil inisiatif untuk menyantuni anak-anak Rumah Amal Asnaf Al-Barakh, pelajar UniKL Malaysian Institute Of Information Technology (UniKL MIIT) dan haiwan terbiar di Second Chance Animal Society (SCAS).

Pengarah Program MBA juga pensyarah kursus OMMU6013, Dr. Nazahah Abd Rahim berkata, program yang ditaja dan dibiayai sendiri oleh pelajar MBA OYAGSB ini mendapat penerimaan dan sambutan yang positif dari ketiga-tiga pihak tersebut yang sentiasa mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama pihak luar terutamanya dari pelajar institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, pelajar MBA yang terlibat dibahagikan kepada tiga kumpulan dan setiap kumpulan dipertanggungjawabkan mengendalikan aktiviti CSR untuk setiap tempat yang dipilih.

Antara aktiviti bersama anak yatim dan asnaf di Rumah Amal Asnaf Al-Barakh termasuklah mengadakan sudut bacaan khas di dalam rumah tersebut dan bermain permainan yang berkonsepkan 3R ‘Reduce, Reuse and Recycle’ bagi memupuk kesedaran terhadap pentingnya kitar semula dan menjaga alam sekitar, seterusnya anak-anak ini dibawa ke pasaraya untuk membeli keperluan sekolah.

Dr. Nazahah berkata, inisiatif CSR di UniKL MIIT adalah bertemakan ‘6 Speakers, 6 Stories, A Career Chat’ adalah merupakan perkongsian kisah hidup dan pengalaman pelajar MBA OYAGSB sendiri yang terdiri daripada pengarah dan eksekutif syarikat dari pelbagai bidang seperti bidang pelaburan, IT, Project Management, perbankan, perkayuan dan insuran di mana mereka memberi pendedahan kepada pelajar diploma dan ijazah UniKL MIIT berkenaan laluan kerjaya, persediaan, trend serta cabaran di alam pekerjaan kelak.

Seterusnya, inisiatif program CSR di SCAS yang terletak di Hulu Langat yang dianggarkan mempunyai lebih dari 500 anjing dan kucing terbiar termasuklah aktiviti pembersihan di kawasan sekitar, aktiviti pembersihan sangkar serta peralatan makanan haiwan dan sumbangan makanan haiwan.

Dr. Nazahah berkata, program CSR ini dilihat sebagai salah satu program berimpak positif yang berjaya memendekkan jurang di antara pelajar institusi pendidikan tinggi dengan pemegang taruh (stakeholders) termasuklah flora dan fauna.

Pelajar MBA OYAGSB, Norhisham Nordin berkata, program sebegini telah membuka peluang untuk beliau mendekatkan diri dengan masyarakat dan perlu diteruskan lagi di masa akan datang.

Beliau merupakan Naib Presiden, Group Internal Audit and Integrity di MARA Corporation Sdn. Bhd.