UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

CUIC, Lee Motors fokus kerjasama libat pelajar UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar CUIC/UUM Today

SINTOK: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited meluaskan jaringan kerjasama dengan pihak industri yang boleh memanfaatkan kedua-dua pihak.

Baru-baru ini, CUIC telah mengadakan perbincangan bersama wakil Lee Motors Volkswagen dan Lee Motors BMW yang bakal memberi peluang kerjasama untuk kebaikan staf dan pelajar UUM.

Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, tumpuan perbincangan diberikan kepada peluang latihan industri untuk pelajar UUM dan prospek kerjaya bagi graduan UUM.

Menurutnya, dalam aspek latihan industri, Lee Motors bersedia untuk memberikan pendedahan praktikal dan pengalaman kerja sebenar kepada pelajar UUM, membolehkan mereka memahami cabaran dan dinamika industri automotif dari perspektif perusahaan ternama.

“Ini akan memastikan graduan UUM mempunyai kelebihan dan kefahaman yang mendalam semasa memasuki pasaran pekerjaan.

“Selain itu, Lee Motors turut menawarkan peluang kerjaya kepada graduan dari UUM dengan merekrut bakat-bakat muda yang berpotensi. Ini bukan sahaja membantu graduan mencapai kejayaan dalam kerjaya mereka tetapi juga memperkuatkan hubungan antara industri dan akademia,” ujarnya.

Selain itu, perwakilan dari Lee Motors BMW turut menawarkan pakej istimewa pembelian kenderaan kepada kakitangan UUM.

Perbincangan tersebut disertai Pengurus Pemasaran Lee Motors Volkswagen, Cho Sin Win, manakala Lee Motors BMW diwakili Ooi Lee Hong dari Operasi Jualan dan Eksekutif Jualan, Muhd Ariff Azmi.

Turut serta, Timbalan Pengarah (Jaringan Industri) CUIC, Dr. Normalisa Md Isa. – Siti Nazirah Jaya