UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Dadah bernilai RM88,500 dirampas

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

JOHOR BAHRU: Polis telah merampas sejumlah dadah jenis ‘ecstasy’ dan pil eramin bernilai RM88,500 serta menahan lapan individu dalam dua serbuan berasingan di Jalan Tanjung Puteri, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan pertama pada jam 7 malam itu berjaya menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 33 hingga 38 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah menjumpai sejumlah dadah jenis serbuk jenis ‘ecstasy’ dianggarkan seberat 1.23 kilogram bernilai RM61,700.

Kata beliau, pihaknya juga turut merampas wang tunai RM2,700 dan sebuah pacuan empat roda model Ford Ranger dalam serbuan itu.

“Hasil daripada risikan dan soal siasat yang dijalankan, pada hari sama jam 8.40 malam pihak polis membuat serbuan kedua di rumah lain di kawasan berdekatan.

“Dalam serbuan kedua ini, dua lelaki dan tiga wanita tempatan berumur antara 27 hingga 41 tahun telah ditahan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Raub berkata, hasil pemeriksaan dalam serbuan kedua, pihaknya berjaya merampas sejumlah dadah jenis serbuk ‘ecstasy’, tujuh biji pil eramin 5, botol cecair ‘ecstasy’ dan kereta Perodua Myvi.

Ujarnya, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM26,800 dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM211,200.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methaphethamine.

“Semakan turut mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 16 September depan,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.