UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Depresi tidak berjaya halang Bella genggam ijazah

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK: Siapa sangka dari seorang gadis ceria dan aktif, Nur Nabilah Mohd Azahar, 27, pernah alami depresi selepas beliau terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan praktikum di Curacao, Carribean pada penghujung 2021.

Bagaimanapun, atas dorongan yang diterima tanpa putus asa, Nur Nabilah atau lebih mesra disapa Bella, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan berjaya menamatkan pengajiannya dan menggenggam segulung ijazah pada hari ini.

“Saya pernah berputus asa kerana memikirkan masa depan yang belum pasti sehingga mengalami depresi setelah kembali ke tanah air pada April tahun lalu. Tetapi Alhamdulillah, Allah berikan saya peluang dan melihat hikmah yang berlaku ini sehingga saya sembuh daripada depresi atau kemurungan itu.

“Saya bersyukur kerana ibu bapa menjadi sumber kekuatan saya untuk meneruskan kehidupan, selain Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Pengarah Pusat Kesihatan Universiti serta pensyarah yang banyak memberikan nasihat. Begitu juga doktor pakar yang merawat saya di Malaysia dan Curacao turut memberi kata-kata motivasi setiap kali saya berasa ‘down’, tambahan pula ketika itu saya sudah dirujuk kepada pakar psikiatri dan mengambil ubat kawalan,” katanya yang kini menuntut di semester pertama program Sarjana Pengurusan Pelancongan di UUM.

Anak bongsu daripada empat beradik itu turut mengakui bahawa UUM banyak membantunya kini dengan menyediakan kemudahan kondusif untuk belajar termasuk kemudahan pengangkutan dan penginapan di Inapan Siswa Maybank bagi beliau mengikuti pengajian sarjana secara sepenuh masa.

Di samping itu, ujarnya, pensyarah juga sangat memahami dengan situasinya yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (dulu HUKM) pada setiap bulan.

Menerima ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan yang disampaikan Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan pada sesi ketujuh, Bella berharap suatu hari nanti beliau dapat kembali aktif dalam aktiviti menyelam semula meskipun pergerakannya kini terhad.

“Kemalangan lalu menyebabkan saya alami kecederaan di bahagian kaki kanan dan terpaksa dipotong sehingga paras lutut, manakala kaki kiri mengalami kecederaan teruk berkait saraf dan otot dari paras pelvis hingga hujung jari kaki.

“Saya bergerak menggunakan kerusi roda dan pada masa sama masih belajar menggunakan kaki palsu. Inilah cabaran saya apabila tidak dapat aktif dalam aktiviti luar seperti sebelum ini,” katanya.

Menyedari kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) tidak lagi sama seperti sebelum kemalangan berlaku, Nur Nabilah menitipkan pesanan kepada semua pelajar UUM agar memanfaatkan masa ketika masih bergelar pelajar universiti.

Imbangi kehidupan antara waktu belajar dan aktiviti sosial juga kerana kenangan semasa bergelar pelajar sangat berharga, selain meluaskan jaringan demi masa hadapan.