UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

DOSH bekerjasama dengan UUM rancang tubuh CoE OSH

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Dr. Mohd Salahudin Shamsudin/SBM

SINTOK: Berhasrat untuk menubuhkan pusat kecemerlangan (CoE) di peringkat kebangsaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah mengadakan sesi perbincangan bersama Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) selama tiga hari bermula 18 Mac lalu di EDC UUM.

Perbincangan yang diketuai Pengarah DOSH Sarawak, Ir. Dr. Nor Halim Hasan merangkap Pengerusi Teras Strategik 1 Program 3 OSH Master Plan 2025 (OSHMP2025) itu memfokuskan kepada pembentukan kertas cadangan penubuhan Centre of Excellence (CoE) for OSH peringkat kebangsaan.

UUM diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Industri dan Korporat SBM, Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly.

Dalam perbincangan tersebut, Nor Halim menyatakan pihak DOSH menyasarkan untuk menubuhkan CoE di peringkat kebangsaan menjelang 2025.

“Tujuan penubuhan CoE ini antaranya adalah untuk mengawal-selia aktiviti-aktiviti bukan penguatkuasaan dalam bidang OSH seperti penyelidikan, penerbitan, promosi dan latihan yang dilaksanakan institusi-institusi lain di Malaysia seperti NIOSH, universiti-universiti, pusat-pusat penyelidikan, NGO, pihak swasta dan lain-lain.

“CoE boleh menjadi pembekal repositori kajian-kajian yang dilaksanakan oleh pihak akademik mahupun industri sebagai rujukan kepada penggubalan dasar-dasar yang berkaitan,” ujarnya.

Sementara itu, Syazwan Syah pula mencadangkan agar pihak DOSH bekerjasama dengan universiti-universiti awam tempatan seperti UUM bagi merealisikan penubuhan CoE tersebut.

Menurutnya, UUM khususnya SBM bersedia untuk menyumbang kepakaran sekiranya diperlukan oleh pihak DOSH dalam bentuk penyelidikan ataupun perundingan bagi proses penubuhan COE tersebut.

Mengakhiri sesi selama tiga hari tersebut, pihak DOSH telah bersetuju melantik SBM menerusi Ts. Dr. Syazwan Syah sebagai perunding bagi membangunkan kertas cadangan penubuhan CoE tersebut.

Kertas cadangan itu bakal dibentangkan kepada pihak Kementerian Sumber Manusia serta Jabatan Perkhidmatan Awam pada penghujung tahun ini.

Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad yang turut hadir menyantuni delegasi DOSH pada hari terakhir juga melahirkan tanda penghargaan atas kesudian memberi kepercayaan kepada pensyarah SBM untuk membangunkan kertas cadangan penubuhan CoE tersebut.

Kata Shuhymee, telah menjadi sebahagian tugas ahli akademik khususnya di SBM untuk menyumbang kepakaran dalam bidang-bidang tertentu kepada agensi kerajaan seperti DOSH.

Hadir sama pada sesi tersebut ialah pegawai kanan DOSH iaitu Ir. Ts. Mohd. Fairus Mohd. Rashid (Penolong Pengarah Kanan), Ts. Razman Murad dan Wanlop a/l Phai Rod (Pemeriksa Kilang dan Jentera) serta Raja Mohd. Faisal R. Md. Salleh (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan).