UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Dr. Abdul Aziz kongsi petua jadi penulis prolifik

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar UUM Press/UUM Today

SINTOK: Pakar penulisan buku, Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hussin telah berkongsi panduan untuk menjadi penulis prolifik bersama penulis baharu di Bengkel Penulisan Buku Ilmiah selama dua hari di EDC UUM, baru-baru ini.

Bengkel kerjasama UUM Press dengan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) bertujuan memberikan motivasi dan semangat menulis buku kepada penulis baharu atau yang pernah menulis sebelum ini.

Dr. Abdul Aziz adalah bekas pensyarah yang pernah berkhidmat di beberapa buah universiti di Malaysia dan kini merupakan Penasihat Undang-Undang Yayasan Kebajikan Mahfatim, Terengganu dan Penasihat Undang-Undang Pusat Tahfiz Al-Khatiri, Kelantan.

Beliau juga menjadi pensyarah sambilan di Open University Malaysia (OUM) dan Ahli Lembaga Penasihat, Jabatan Perdana Menteri.

Berpengalaman luas dalam bidang penulisan buku, majalah dan jurnal, beliau telah menghasilkan lebih daripada 50 judul buku. Beliau juga aktif memberikan ceramah di dalam bengkel atau kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

Menurut Dr. Abdul Aziz, penulis menanggung amanah yang amat tinggi dalam penghasilan sesebuah buku dan perlu menghasilkan penulisan yang terbaik. Namun, dalam penghasilan sesebuah buku, penulis tidak harus mengabaikan keluarga, meninggalkan yang wajib seperti solat dan puasa, melupakan hak diri (rehat, makan, tidur, kesihatan dan sebagainya), serta melupakan sahabat, jiran dan saudara.

Beliau turut mengingatkan bahawa penulis perlu berniat dan berdoa agar ilmu yang ditulis adalah ilmu yang bermanfaat, mendapat rezeki yang halal daripadanya dan dipermudahkan Allah semasa menyiapkannya.

Penceramah turut memberikan beberapa petua sebelum penulis memulakan penulisan, antaranya pada hari Isnin, selepas selesai solat Zohor digalakkan mengerjakan solat hajat dan mula menulis buku selepas solat Asar. Sebelum mula menulis, digalakkan membaca surah al-Fatihah dan al-Ikhlas sebanyak satu kali serta selawat nabi sebanyak 11 kali. Penulis juga perlu memulakan penulisan dengan rasa rendah hati dan khusyuk.

Turut dibincangkan di dalam bengkel ini adalah berkaitan isu hak cipta, perjanjian penerbitan dan plagiat.

Bengkel yang disertai oleh seramai 30 orang pensyarah daripada pelbagai pusat pengajian ini turut memuatkan sesi pembentangan manuskrip yang sedang ditangani oleh mereka.

UUM Press berharap dengan adanya bengkel seperti ini dapat menggalakkan lebih ramai pensyarah untuk menghasilkan buku yang berkualiti dan menjadi penulis prolifik di peringkat kebangsaan atau antarabangsa. – Mohammad Amzari Bakri