UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Dr Hisham dilantik Pengarah Pemasaran UUM baharu

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Sintok: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan menyampaikan watikah  pelantikan kepada Prof. Madya Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin sebagai pengarah pemasaran UUM baharu, berkuatkuasa 1 Februari 2024 hingga 31 Disember 2025.

Dalam struktur oganisasi baharu yang diluluskan Lembaga Pengarah Universiti, Bahagian Pemasaran kini diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Akademik.

Beliau yang  berpengalaman selama tujuh tahun sebagai  Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) berkelulusan Sarjana bidang teknologi maklumat UUM dan doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang sama dari Universiti Murdoch, Australia.

Ahmad Hisham berkata, pengalaman dan hubungan baik dengan dekan-dekan pusat pengajian akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengatur strategi pemasaran program akademik di UUM.

“Untuk itu saya memohon kerjasama semua pihak untuk menjayakan usaha pemasaran demi meningkatkan lagi keberadaan UUM di pasaran domestik dan luar negara.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Naib Canselor atas pelantikan ini dan bertekad melakukan yang terbaik untuk menabur budi menyumbang bakti demi UUM yang tercinta,” ujarnya selepas menerima watikah lantikan di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, pagi tadi, sebelum mesyuarat pagi semua Dekan Pusat Pengajian.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) yang disifatkan olehnya sebagai suatu amanah dan tanggungjawab yang berat dan perlu dipikul dengan sebaiknya.

Beliau yang pernah menerajui Institut Penyelidikan Dan Inovasi Zakat (IPIZ) selain menggalas jawatan Timbalan Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) berazam akan menggunakan segala pengalaman yang ditimba untuk meneruskan perjuangan memajukan IBS.

“Pada saya, yang paling penting adalah dana RM15 juta daripada FWD Takaful, itu amanah paling besar dan berusaha memperkukuhkan STF (Social Takaful Fund) serta menjaga reputasi IBS UUM di samping fokus pada kebajikan staf,” katanya.