SINTOK: Dua pelajar orang kurang upaya (OKU) Universiti Utara Malaysia (UUM) terpilih mewakili negeri Kedah ke Kejohanan Memanah Para Kebangsaan 2022 Sirkit 2 dan Para SUKMA XX MSN 2022.
Kejohanan Memanah Para Kebangsaan akan berlangsung pada 29 September hingga 2 Oktober, manakala Para SUKMA pada 1 hingga 6 November.
Dua atlet OKU tersebut ialah pelajar Sarjana Muda Undang-undang, Nek Muhammad Sofwan Najim Nek Ali dan pelajar Sarjana Muda Sains Ekonomi, Nurin Irdina Jasmine Jaafar yang akan mewakili negeri ini bagi acara memanah.
Sebagai tanda sokongan, UUM menerusi Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) telah memberi sumbangan kerusi roda dan wang berjumlah RM2,000 setiap seorang yang disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Nek Muhammad Sofwan berkata, dia berterima kasih di atas sumbangan kerusi roda itu sekali gus menaikkan semangatnya untuk mengharumkan nama negeri Kedah dan juga UUM.

“Saya terkejut dengan sumbangan ini dan pada masa sama berterima kasih kepada pihak universiti dan JHEP yang memberikan sokongan serta dorongan kepada saya.
“Saya akan berikan yang terbaik pada temasya sukan itu nanti meskipun ini adalah penyertaan pertama saya dalam acara memanah dengan bantuan warga SSSD di bawah Kementerian Belia dan Sukan Negeri Kedah,” katanya.
Tambahnya, tidak dinafikan ramai pelajar lain yang sangat hebat dalam pemilihan acara sukan memanah itu, namun demi membawa nama UUM dan negeri Kedah, dia cuba sedaya upaya untuk menempatkan diri dalam acara tersebut.
Menurut Nek Muhammad Safwan lagi, dengan permulaan baru ini diharapkan menjadi satu titik tolak dan memberikan semangat baharu buat rakan-rakan kurang upaya yang lain di UUM untuk merebut peluang yang ada dan tidak hanya memberi 1,001 alasan untuk berjaya.

Manakala Nurin Irdina turut merakamkan penghargaan kepada pihak universiti di atas sumbangan kerusi roda itu dan pada masa sama bersyukur kerana mendapat sokongan padu untuk mewakili negeri Kedah dalam dua kejohanan sukan yang dianggap berprestij baginya.
“Saya akan lakukan yang terbaik setelah menjalani latihan yang padu. Saya juga berharap dapat mengharumkan nama UUM dan negeri Kedah. Terima kasih kepada Naib Canselor juga yang turut memberikan sokongan ini, selain Prof. Dr. Ahmad Martadha dan seluruh warga UUM,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Martadha berkata, usaha mencari peluang, memberi kesedaran dan mengangkat pelajar kurang upaya bagi menyertai dalam mana-mana acara sukan perlu diberi perhatian dan digarap bersama agar momentum semangat kesukanan dapat dibangunkan secara berterusan untuk masa hadapan. “Saya berharap dan mendoakan agar atlet paralimpik ini dapat memberikan khabar berita yang baik buat UUM dalam temasya yang akan berlangsung nanti,” katanya.