UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Dua lelaki gagal seludup minyak masak peket

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Sinar Harian

TUMPAT: Cubaan dua lelaki untuk menyeludup 595 kilogram (kg) minyak masak peket semasa umat Islam sedang bertarawih malam tadi gagal selepas diserbu anggota penguat kuasa di Kampung Telaga Bata, dekat sini.

Dalam serbuan jam 9 malam itu, kedua-dua suspek bertindak meninggalkan kereta jenis Proton Saga BLM yang penuh dengan barangan kawalan terbabit selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan serta Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

Pengarah KPDN, Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat dan risikan anggota bertugas telah mengekori sebuah kereta yang disyaki mengangkut minyak masak peket dari arah Kota Bharu menghala ke Tumpat.

“Menyedari diekori, pemandu kenderaan terbabit kemudian memecut kenderaannya memasuki bulatan Pasir Pekan menghala ke Cabang Empat Tok Mek Ngah.

“Setiba di Kampung Telaga Bata, kereta terbabit telah masuk ke laluan di tepi tali air dan kemudian terbabas serta tersangkut dalam semak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dua lelaki kemudian itu telah bertindak keluar dari kereta dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran serta gagal dikesan.

Ujarnya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta berkenaan telah menemui muatan minyak masak peket bersubsidi seberat 595 kg di dalam kereta tersebut.

Azman memberitahu, nilai rampasan keseluruhan termasuk kereta dianggarkan berjumlah RM11,487.50 dan kes akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDN Kelantan memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.

“Pada masa sama juga, Penguat Kuasa KPDN Kelantan sentiasa mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan Ops Tiris dan Pemantauan Rondaan Pencegahan Penyelewengan Subsidi di sekitar sempadan negara dari masa ke semasa,” katanya.