UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Doa iringi kemenangan pelajar UUM di Sayembara Penulisan dan Deklamasi Puisi Alam Sekitar 2023

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail/UUM Today

KUALA LUMPUR: Dorongan dan kata-kata semangat ibu menjadi pemangkin kepada kejayaan Wan Nur Anis Nadhiah Wan Ab Wahab, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memenangi tempat kedua untuk kategori Penulisan Puisi Peringkat Universiti Awam dalam Sayembara Penulisan dan Deklamasi Puisi Alam Sekitar 2023 di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, baru-baru ini.

Majlis perasmian penutupan sayembara ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan Malaysia, Azman Adnan dan dihadiri Pegawai Urusan dan Presiden Bahagian Jentera, Kumpulan UMW, Megat Shahrul Azmir Nordin dan Sasterawan Negara yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan.

Wan Nur Anis Nadhiah, pelajar Semester 7, Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif tidak menyangka sama sekali bahawa puisinya yang berjudul ‘Alam Ciptaan Maha Esa’ terpilih antara karya yang terbaik daripada sejumlah besar karya yang dinilai dalam sayembara peringkat kebangsaan ini.

Pelajar dari Pekan, Pahang yang berbakat ini mula giat menerbitkan karyanya dalam majalah Tunas Cipta dan Wadah DBP sejak menyambung pengajiannya di UUM.

Menurut Wan Nur Anis Nadhiah, insan yang paling teruja dengan kemenangannya ialah ibunya, Khairiah Mahmod yang merupakan seorang peminat karya kreatif yang sentiasa mendorongnya untuk menulis.

“Kejayaan dalam sayembara ini dilihat dapat memenuhi impian ibu saya yang pernah menyimpan hasrat untuk menempa nama sebagai pemuisi.

“Kejayaan ini juga adalah sebagai satu ruang dan titik permulaan yang dapat mendorong diri saya untuk terus mengetengahkan keterlihatan sebagai pengkarya dalam dunia sastera kontemporari tanah air,” ujarnya. 

Sayembara yang sama turut merakam kejayaan Ain Sophiah Salleh, pelajar Semester 7, Sarjana Muda Sains Teknologi Maklumat untuk mara ke peringkat terakhir kategori Deklamasi Puisi Peringkat Universiti Awam.

Beliau yang aktif dalam acara pengucapan awam, pidato dan debat serta kerap mewakili UUM dalam acara sebegini tidak melepaskan peluang untuk mencuba perkara yang baharu sebelum bergraduat.

Ain Sophiah yang melantunkan sajak Aniza A. S. yang berjudul ‘Alam Khazanahku’ mendapat tunjuk ajar daripada Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail dari Pusat Pengajian Pendidikan dan Mohd Fairus Abd Majid dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz.

Sokongan yang tidak putus-putus daripada kedua ibu bapanya juga menyebabkan pelajar UUM ini terus bersemangat untuk membawa nama universiti ke seluruh negara.

Sayembara anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kumpulan UMW ini menyaksikan sejumlah 2,295 penyertaan untuk kedua-dua kategori penulisan dan deklamasi puisi berbanding dengan 657 penyertaan pada tahun lepas.

Penyertaan dan penglibatan positif khalayak penggemar puisi di sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti awam pada tahun ini menunjukkan bahawa usaha untuk memartabatkan seni dan sastera sebagai satu khazanah negara dapat digerakkan dan dirancakkan dengan jayanya. – Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail