PETALING JAYA: Setelah hampir tiga minggu dilarikan, akhirnya ejen jualan kosmetik wanita yang diculik tiga lelaki bersenjata dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan, 13 September lalu berjaya diselamatkan.
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Rosnazirah Mohd Naim, 36, ditemui di sebuah lokasi di Thailand hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa negara itu dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Dalam kenyataan beliau, hasil siasatan serta kerjasama erat antara PDRM dengan polis Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya menjejaki serta mengenal pasti lokasi mangsa di Thailand.

Katanya, mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dan telah dibawa pulang ke Malaysia hari ini.
Acryl Sani berkata, susulan kes itu, tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961. Selain itu, polis turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa,” katanya.
Dalam kejadian 4.10 petang, Rosnazirah dilarikan tiga lelaki tidak dikenali di kediamannya yang dikatakan datang ke rumahnya sebelum salah seorang daripada mereka mengetuk pintu dan memberi salam.
Suspek kemudian bertanya mangsa adakah dia bernama Azi sebelum menarik wanita tersebut.
Suspek turut menunjukkan pistol masing-masing kepada bapa dan anak perempuan mangsa yang berada dalam rumah, selain mengugut akan mengapa-apakan mereka jika membuat sebarang tindakan.
Susulan kejadian itu, polis Kelantan mengesyaki penculikan Rosnazirah ada kaitan dengan sindiket dadah kerana siasatan mendapati keluarga terdekat kepada wanita terbabit berkait rapat dengan sindiket itu.
Polis kemudian menahan suami mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai nelayan bersama dua individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan.