UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Eksport produk halal cecah RM36.3 bilion

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

KUALA LUMPUR: Eksport produk halal Malaysia mencecah RM36.3 bilion bagi tahun 2021, meningkat sebanyak 19 peratus berbanding RM30.5 bilion tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata, peningkatan itu sekali gus menjadikan Malaysia sebagai antara pengeluar utama produk halal global.

Menurutnya, industri halal memainkan peranan penting kepada ekonomi negara kerana ia dijangka akan terus berkembang di Asia Pasifik.

Hal ini susulan daripada ratifikasi Malaysia ke atas Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkuat kuasa pada 18 Mac 2022.

“RCEP adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar dunia yang merangkumi 15 buah negara dengan jumlah populasi melebihi 2.3 bilion atau sekitar satu pertiga jumlah populasi dunia.

“Keanggotaan negara besar dan maju dalam RCEP seperti China, Jepun, Korea, Australia dan New Zealand, di samping ASEAN menyediakan peluang keemasan dalam mempelbagaikan potensi halal,” katanya pada Majlis Perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2022 (MIHAS 2022), hari ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri (tengah) dan Ban Hong (dua, kiri) ketika merasmikan MIHAS 2022, hari ini. Gambar NSTP

Mengulas lanjut, Ban Hong berkata, Covid-19 telah menyedarkan banyak negara termasuk Malaysia tentang kepentingan kaedah alternatif dalam menjalankan operasi perniagaan iaitu dengan memanfaatkan platform digital.

Menurutnya, penggunaan meluas platform digital dalam kalangan pengguna turut memudahkan akses pasaran, di mana pasaran digital serta e-dagang dilaporkan sudah mencecah angka RM1 trillion pada 2021.

Berdasarkan laporan ‘State of The Global Islamic Economy 2022’, kata beliau turut menyatakan bahawa hampir semua sektor halal telah mendapat manfaat daripada transformasi pendigitalan.

Katanya, sektor yang dimaksudkan termasuk sektor tradisional seperti makanan dan minuman serta sektor bukan tradisional seperti teknologi kewangan dan perubatan, termasuk tele-perubatan yang semakin meningkat popularitinya dalam kalangan pengguna.

“Digitalisasi membolehkan perhubungan tanpa sempadan yang menyokong kepelbagaian dalam industri.

“Dengan mengambil peluang memanfaatkan dunia tanpa sempadan ini, MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus meletakkan matlamat untuk memperkasakan jenama ‘Halal Malaysia’ sebagai agenda utama negara.

“Dengan kerjasama agensi berkaitan lain, saya yakin matlamat ini pasti dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.