Gambar Penyelidik KOMPaS/UUM Today
SINTOK: Bertemakan ‘Guru Sayang Murid’, program KOMPaS-PGDE menjadi usaha berterusan untuk menyantuni pelajar KOMPaS bagi menyuntik motivasi dalam memulakan sesi persekolahan Tingkatan Lima pada tahun ini.
Program kerjasama antara penyelidik Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan pelajar program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) UUM ini dikenali sebagai program KOMPaS-PGDE: Nyalakan Azam KOMPaS.
Ketua penyelidik, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini melibatkan 180 pelajar Permata KOMPaS di enam sekolah menengah dari tiga daerah iaitu Baling, Kubang Pasu dan Langkawi.

Aktiviti ‘Santai-Santailah Sayangku’ dimulakan sebagai sesi pengenalan dan pembakar semangat. Aktiviti fizikal ringan menggunakan lagu-lagu rancak dan menarik dilihat dapat membangkitkan semangat pelajar sebelum meneruskan aktiviti berkumpulan lain.
Seterusnya, pelajar dibahagikan ke dalam beberapa kumpulan berbeza dan perlu mencipta slogan bagi kumpulan masing-masing.
Aktiviti ketiga iaitu ‘Jambatan Impian’ merupakan aktiviti mencipta jambatan menggunakan penyedut minuman, lidi dan pita pelekat. Kumpulan yang dapat membina jambatan yang paling kreatif, stabil dan boleh dilalui oleh bola-bola ping pong dipilih sebagai pemenang.

Menerusi aktiviti ini, pelajar mempamerkan semangat kerjasama dan pemikiran kritis dan kreatif dalam memastikan reka bentuk jambatan yang dibina tersebut selamat, kukuh dan menarik.
Aktiviti keempat lebih bersifat akademik berdasarkan subjek lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Bahasa Melayu di mana pelajar mengasah penguasaan simpulan bahasa dan peribahasa berdasarkan gambar-gambar yang diberikan oleh fasilitator.
Mereka bergilir-gilir meneka kesemua peribahasa dan perlu berkongsi jawapan kepada rakan-rakan sekumpulan yang lain.

Program KOMPaS-PGDE diakhiri dengan ‘Exit Tiket’ bagi mendapatkan maklum balas pelajar KOMPaS melalui refleksi dan cadangan penambahbaikan.
Beberapa pelajar secara sukarela telah berkongsi manfaat yang diperoleh setelah mengikuti program ini dan menyatakan perasaan terharu dan gembira dengan usaha fasilitator dalam menyediakan aktiviti-aktiviti yang menarik, bermakna dan seimbang demi menyuntik semangat mereka untuk terus ke sekolah dan menamatkan Tingkatan Lima dengan jayanya.
Program KOMPaS merupakan program penyelidikan berimpak tinggi UUM yang dibiayai bersama oleh kerajaan negeri Kedah dan Yayasan Sime Darby (YSD) dengan tujuan utama mensasarkan pelajar sekolah menengah yang berdaftar di sekolah-sekolah di negeri Kedah dapat menamatkan pendidikan menengah mereka sehingga lulus SPM. – Dr. Nurliyana Bukhari