NEW YORK: Pemilik baharu Twitter, Elon Musk memecat eksekutif tertinggi dalam usaha mengelakkan pembayaran besar bagi pemberhentian.
Musk dikatakan turut menyusun pemberhentian lain bagi mengelak pembayaran geran saham pada 1 November ini.
Beliau memecat Ketua Eksekutif Twitter, Parag Agrawal; Ketua Pegawai Kewangan, Ned Segal dan Ketua Hal Ehwal Undang-undang dan Dasar, Vijaya Gadde selepas menyelesaikan pembelian berprofil tinggi sebanyak AS$44 bilion (RM207.8 bilion) bagi platform media sosial itu pada Khamis lalu.

Musk mendakwa mereka telah mengelirukan beliau dan pelabur Twitter berhubung jumlah akaun palsu di platform tersebut.
Menurut firma penyelidikan Equilar, kesemua eksekutif itu akan menerima bayaran berjumlah kira-kira AS$122 juta (RM576 juta).
The Information melaporkan bahawa Musk menamatkan empat eksekutif tertinggi Twitter termasuk Agrawal dan Segal untuk mengelakkan bayaran pemberhentian dan saham.
Pengarah penyelidikan di Equilar, Courtney Yu berkata, eksekutif Twitter yang dipecat sepatutnya mendapat bayaran (pemberhentian), melainkan Musk mempunyai sebab untuk mereka ditamatkan, antaranya melanggar undang-undang atau melanggar dasar syarikat.
Sementara itu, The New York Times, semalam, melaporkan Musk mengarahkan pengecilan operasi di seluruh syarikat dengan beberapa pasukan diberhentikan lebih banyak daripada yang lain dan akan berlaku sebelum 1 November ini apabila pekerja dijadualkan menerima geran saham sebagai sebahagian daripada pampasan mereka. – REUTERS