Kemboja: Emina Kulasic Bong Ei Min merangkul anugerah ‘Most Diplomatic Minister (ASEAN Political Science Council)’ dalamASEAN Foundation Model ASEAN Meeting di Siem Reap, Kemboja, baru-baru ini.
Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa yang juga Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UUM itu menjadi antara enam pelajar yang mewakili Malaysia dalam persidangan tiga hari yang dihadiri 70 pelajar dari semua negara ASEAN dan China.
Menurutnya, pada persidangan ini beliau memainkan peranan sebagai sekretariat ASEAN yang bertindak sebagai orang tengah dan merangka keseluruhan kenyataan pengerusi.
“Anugerah ini diberi kepada seorang dari setiap komuniti (‘council’) dalam persidangan ASEAN. Saya menang dalam ‘ASEAN Political Security Council’ di mana kami diberi masa tiga hari untuk membuat satu kenyataan pengerusi yang mengandungi 60 polisi bagi meningkatkan kelestarian di ASEAN.

“Kriteria pemenang yang dipilih ialah individu yang berpengalaman dalam ASEAN dan pernah mewakili negara Singapura ke persidangan ASEAN sebenar, memahami peranan delegasi yang diberikan serta menunjukan diplomasi yang tinggi.
“Saya juga merupakan sekretariat ASEAN yang mencatat setiap usul, memberi cadangan dan menasihati setiap negara tentang dasar luar negara mereka,” ujarnya.
Disoal mengenai perasaan mendapat anugerah tersebut, anak kelahiran Sarawak ini mengakui agak terkejut kerana memang di luar dugaan pada masa sama amat gembira kerana usaha selama tiga hari itu dihargai.
Memegang prinsip keterbukaan, Emina bijak menyesuaikan diri dengan memahami tradisi dan pandangan semua malah sikap ini membantunya berkawan dan memahami setiap peserta di peringkat antarabangsa.

“Pengalaman manis yang ditimba apabila dapat berjumpa rakan-rakan dari pelbagai negara ASEAN dan China di mana kami sama-sama belajar polisi dan prosedur persidangan ASEAN serta menghargai semua ilmu yang dipelajari semasa persidangan itu,” ujarnya.
Emina turut menyertai kelab UUM Model United Nations (UUMUN) yang pernah mengadakan persidangan ASEAN. Selain itu, sebagai pelajar Pusat Pengajian Antarabangsa beliau didedahkan tentang dasar luar negara ASEAN ketika dalam kuliah yang menjadikannya memahami prosedur persidangan ASEAN.
Beliau berharap dapat meneruskan pembelajaran dalam bidang dasar luar negara kerana amat meminati bidang ini seterusnya berhasrat menjadi penyelidik dalam bidang ini ataupun seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) suatu hari nanti.