UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Empat angkasawan pulang ke bumi, Kapsul SpaceX tinggalkan ISS

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

LOS ANGELES: Pasukan angkasawan jangka panjang keempat yang berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan kapsul SpaceX telah meninggalkan stesen itu semalam untuk memulakan perjalanan pulang ke bumi, sekali gus menamatkan misi saintifik selama hampir enam bulan.

Kapsul Crew Dragon SpaceX yang membawa tiga angkasawan Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) dan seorang kru Itali daripada Agensi Angkasa Eropah berlepas dari ISS sekitar jam 12.05 tengah hari (waktu tempatan) semalam memulakan perjalanan yang dijangka mengambil masa lima jam.

Siaran secara langsung menunjukkan kapsul itu bergerak meninggalkan ISS dengan empat angkasawan yang memakai topi keledar dan sut angkasa berwarna hitam dan putih dilihat berada di kabin kru sebelum kapal angkasa berkenaan berpisah dari ISS yang mengorbit sekitar 400 kilometer (km) di atas bumi.

Sekiranya semua proses berjalan lancar, Crew Dragon yang turut dikenali sebagai ‘Freedom’, akan mendarat di laut berhampiran pesisir Atlantik di Florida pada jam 4.55 petang (waktu tempatan).

Kru Freedom iaitu warga Amerika Syarikat (AS), Kjell Lindgren, 49; Jessica Watkins, 34, dan Bob Hines, 47 serta warga Itali, Samantha Cristoferetti, 45, tiba di ISS pada 27 April lalu susulan pelancaran SpaceX.

Watkins menjadi wanita Afrika-Amerika pertama berkhidmat dalam misi jangka panjang di ISS.

Kru berkenaan dikenali sebagai ‘Crew-4’, kumpulan angkasawan keempat untuk misi jangka panjang yang dilancarkan oleh SpaceX ke ISS sejak syarikat roket swasta diasaskan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk, menerbangkan kakitangan NASA pada Mei 2020.

Kepulangan kumpulan itu dilaksanakan seminggu selepas pengganti mereka, Crew-5 tiba di ISS yang merangkumi seorang angkasawan Russia, seorang angkasawan Jepun dan dua kru NASA, termasuk wanita orang asli AS pertama yang dihantar ke orbit.

Crew-5 kini berada di ISS bersama dua lagi angkasawan Russia dan seorang angkasawan AS yang berkongsi pesawat Soyuz untuk menuju ke stesen angkasa itu bulan lalu.

ISS yang bersaiz sebuah padang bola, dihuni secara berterusan sejak 2000, dan dikendalikan menerusi satu kerjasama yang diketuai AS dan Russia secara bersama dan merangkumi beberapa negara termasuk Kanada, Jepun dan 11 negara Eropah. – REUTERS