SUNGAI PETANI: Enam pasangan pengantin dari Sungai Petani, Kedah akan mengadakan majlis kenduri kahwin serentak di perkarangan Masjid Al Muhajirin Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, Sungai Petani pada 21 Januari 2023 nanti.
Pengerusi yang juga imam masjis itu, Ustaz Mohd Robieawal Hashim, 34, berkata, majlis kenduri secara serentak itu akan membabitkan enam pasangan yang menetap di kariah itu.
Katanya, setiap pasangan hanya dikenakan bayaran RM3,000 untuk majlis kenduri dan jemputan kepada 1,750 keluarga.
Manakala, setiap pengantin pula akan menerima 1,000 kad jemputan untuk mereka menjemput ahli keluarga atau kenalan mereka.
“Program ini adalah antara aktiviti yang dijalankan oleh pihak kami selain daripada aktiviti yang membabitkan pelajar sekolah, ibu tunggal, belia dan warga emas,” sambungnya lagi.
Dalam pada itu, mereka juga mengalu-alukan sumbangan dan penyertaan dari mana-mana organisasi atau perseorangan yang ingin menaja atau memeriahkan majlis kenduri ini.
Beberapa agensi kerajaan, persekutuan dan Pertubuhan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) juga telah dijemput ke majlis ini.
Mohd Robieawal menambah pihaknya juga gembira kerana hasil pertemuan dengan keluarga pasangan pengantin itu, mereka juga telah bersetuju untuk menyumbangkan semula wang yang diterima nanti oleh mereka yang hadir digunakan bagi pembinaan sekolah pendidikan Islam dan KAFA masjid itu yang menelan belanja kira-kira RM1.4 juta.

Katanya, pusat pendidikan yang akan didirikan ini dijangka memuatkan 400 murid membabitkan sembilan kelas dan fasa pertama pembinaannya telah berjalan dan hampir RM300,000 telah dibelanjakan.
Mereka yang ingin menaja makanan, minuman atau pembinaan sekolah ini boleh menghubungi talian 0196044598 atau 04-4594459 untuk keterangan lanjut.