UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Evolusi CSR dalam sektor perhotelan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUMToday

Sintok: Majlis Syarahan Pengukuhan Profesor Bertajuk “Doing Well By Doing Good: The Evolution Of Corporate Social Responsibility In The Hotel Sector” oleh Prof. Dr. Azilah Kasim berlangsung di Auditorium SOIS, Universiti Utara Malaysia, semalam.

Azilah dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) berkata, dalam dunia hospitaliti yang serba pantas, konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah berkembang dengan ketara sejak beberapa tahun ini.

Beliau membincangkan evolusi CSR dalam sektor perhotelan, yang beliau rumuskan dari pembacaan dan kajian beliau sewaktu PhD sehingga kini,  yang mana tanggungjawab sektor tersebut telah berkembang dari tanggungjawab alam sekitar semata mata kepada tanggungjawab sosial yang lebih bermakna.

Perkongsian beliau merangkumi aspek seperti definisi umum CSR,  cabaran untuk mengaitkannya dengan industri pelancongan, bagaimana CSR menjadi relevan dalam sektor hotel serta perubahan tanggapan masyarakat tentang bentuk tanggungjawab yang perlu sektor berkenaan lakukan. 

Azilah menyulami perkongsian beliau dengan contoh impak alam sekitar sektor perhotelan serta pentingnya sektor berkenaan berusaha meminimakan impaknya terhadap alam sekitar. Kemudian beliau menyorot tentang pentingnya sektor berkenaan menyempurnakan tanggungjawab untuk membangunkan komuniti setempat dengan lebih baik selain daripada hanya memberikan peluang pekerjaan. 

Beliau turut menekankan tentang kurangnya kefahaman tentang cara hotel boleh melakukan tanggungjawab sosial mereka dengan lebih berjaya pada waktu ini seterusnya berkongsi tentang dapatan kajian terkini beliau yang menyorot  tentang faktor kejayaan kritikal CSR berkaitan komuniti di hotel.

Dalam kajian beliau beserta pasukan penyelidik yang telahpun berjaya diterbitkan dalam jurnal berindeks Scopus dan WoS tersebut, beliau telah menekankan tentang perlunya hotel agar lebih memfokuskan pada tanggungjawab sosial dan menghuraikan tiga faktor kejayaan kritikal CSR utama yang mampu membantu sektor berkenaan menjalankan tanggungjawab sosial kepada komuniti dengan lebih baik.

Penyelidikan ini bukan sahaja memberikan pandangan berharga tentang industri tetapi juga menawarkan penyelesaian praktikal untuk hotel yang ingin memberi kesan positif kepada komuniti yang mereka layani.

Program syarahan ini bagi menonjolkan ketokohan ahli akademik yang dilantik sebagai Profesor di UUM selain menjadi platform untuk menyebarluas ilmu pengetahuan, kepakaran dan penemuan inovatif oleh Profesor UUM kepada masyarakat umum sebagai bukti ketokohan akademik. 

Pada majlis sama menyaksikan Prof. Dr. Nor Azila Mohd Noor dari Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) menyampaikan sesi pengenalan dan latar belakang mengenai Prof. Dr. Azilah Kasim. 

Azilah giat meneruskan minat penyelidikan dan penerbitannya dalam bidang tanggungjawab sosial korporat, persekitaran korporat, pengurusan alam sekitar, pengurusan hotel, dan pemasaran pelancongan.