UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Falsafah belajar sepanjang hayat jadikan diri signifikan

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

GAMBAR MOHD FUAD HAMID/UUMTODAY   

Sintok: Pengamal pembelajaran sepanjang hayat menjadikan seseorang signifikan dalam setiap masa, selain meningkatkan kualiti kerja.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) merupakan salah satu daripada cabang pembelajaran sepanjang hayat yang menjadi usaha kerajaan untuk pelaburan negara, dengan membangunkan rakyatnya melalui ilmu dan latihan.

“Justeru anda telah merealisasikan impian kerajaan dan cita-cita sendiri dengan penganugerahan ijazah sarjana muda dalam bidang masing-masing,” ucapnya pada Majlis Makan Malam Graduan PJJ UUM Bagi Tahun 2022 di EDC-UUM, malam tadi.

Majlis ini bertujuan untuk memberi penghargaan atas kejayaan 106 graduan PJJ yang hadir majlis tersebut dan memperoleh segulung ijazah sempena Majlis Konvokesyen UUM kali ke-35.

Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) sebagai platform telah merealisasikan hasrat Negara untuk agenda kelestarian pembelajaran sepanjang hayat dalam konteks pendidikan jarak jauh yang mampu melahirkan ramai siswazah yang berkualiti.

PACE yang ditubuhkan pada 1 April 1999 berjaya melahirkan lebih 8,000 graduan melalui program PJJ. Pada ketika ini, terdapat hampir 5,000 pelajar aktif yang majoritinya terdiri dari mereka yang berumur antara 30 hingga 40 tahun dengan 60% darinya adalah dari sektor awam dan 40% dari sektor swasta.

Mohd Foad berkata, PJJ menyediakan banyak peluang pendidikan bagi setiap lapisan masyarakat yang secara langsung membantu negara melahirkan tenaga yang profesional dan berkelayakan.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada 1,198 graduan yang berjaya menerima ijazah dan daripada jumlah itu seramai 42 orang merupakan penerima ijazah kelas pertama.

“Graduan berjaya menamatkan pengajian setelah menempuh satu perjalanan yang agak panjang dan dipenuhi rintangan untuk meningkatkan diri dengan ilmu pada masa yang sama memenuhi tuntutan dalam kerjaya dan keluarga.

“Suatu kegembiraan yang tidak dapat dibayangkan apabila akhirnya impian menjadi kenyataan. Kejayaan ini tidak dicapai dengan mudah tetapi dengan hasil usaha dan sokongan padu daripada keluarga,” katanya.

Beliau berkata, momentum komitmen kepada ilmu itu telah ada, maka teruskan belajar hingga ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD). Tambahan pula dengan dorongan dalaman yang tinggi, tidak mudah berputus asa, bijak menguruskan masa serta doa yang tidak putus-putus akan menjadi “kunci” untuk menyusuri pintu kejayaan.

“Pesanan saya untuk para graduan, belajarlah kamu semua, dan mengajarlah kamu semua dan hormatilah guru-gurumu, serta berlaku baiklah terhadap orang yang mengajarkanmu,” ujarnya mengakhiri ucapan.

Sementara itu, wakil pelajar, Azhar Azmi percaya ilmu serta pengalaman yang ditimba   semasa pengajian di UUM banyak memberi input positif pada diri dan dunia pekerjaan malah sudah mampu menganalisa dan membuat aplikasi ilmu dalam kerja seharian.

Menurutnya, majoriti graduan memulakan pengajian pada 2017 menikmati dua suasana pembelajaran yang berbeza iaitu pembelajaran secara bersemuka dan maya setelah negara dilanda pandemik Covid-19.

“Keadaan pembelajaran telah menjadi satu cabaran yang sukar, bukan sahaja kepada UUM tetapi seluruh institusi pengajian tinggi di Malaysia. Namun dengan usaha pihak UUM terutama PACE yang sentiasa cakna dengan memberikan perkhidmatan pembelajaran kondusif, maka graduan berjaya menamatkan pengajian seterusnya ke majlis konvokesyen pada esok hari,” tambahnya.  

Katanya, pengalaman sebagai pelajar PJJ menguji minda dan kesabaran, antaranya masa yang terhad, tempat tinggal yang jauh memandangkan telah bekerja dan berkeluarga namun tidak menjadi penghalang, malah menjadi penyuntik semangat untuk terus berusaha penuh tekun dengan keazaman yang membara.

“UUM telah berada di kedudukan 10 universiti terbaik dalam kalangan Universiti awam dan swasta di Malaysia. Kami amat berbangga menjadi salah satu produk UUM dan kagum dengan sistem pembelajaran yang disusun inilah yang membezakan kami dengan graduan universiti lain. Inilah keistimewaan UUM.

“Di kesempatan ini saya dan rakan-rakan mengucapkan jutaan terima kasih kepada PACE khasnya kepada pensyarah yang memberi segala tunjuk ajar dan kemudahan kepada kami untuk membawa pulang segulung ijazah. Tidak dilupakan juga kepada pihak kerajaan, majikan dan penaja yang telah menyokong dan memberi bantuan sekaligus mencapai cita-cita di menara gading,” ucapnya.