UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Food Bank UUM diperluas ke Inapan Siswa (Inasis)

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil dan Hairul Nizam Zahari/UUM Today

SINTOK: Sejak 2019, Food Bank Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah memanfaatkan kepada lebih 6,500 pelajar khususnya dari golongan B40 yang memerlukan.

Kini, usaha tersebut diperluaskan ke Inapan Siswa (Inasis) dimulakan di Inasis TM yang akan dinikmati lebih 1,000 pelajar yang menginap di situ bagi mengurangkan bebanan pelajar.

Antara barangan yang terdapat dalam Food Bank ialah minuman segera 3 dalam 1, mi segera, roti, gula, tin sardin, biskut, minuman ringan, jem dan makanan bijirin (cereal).

Selain itu, UUM juga menawarkan Menu Rahmah iaitu kuetiau goreng, mi goreng dan mihun goreng berserta minuman berharga RM5 untuk golongan B40 khususnya agar mereka mampu membeli makanan pada harga yang berpatutan.

Pelancaran Food Bank Rahmah dan Menu Rahmah di Kafeteria TM ini disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub di Kafeteria TM, Inasis TM, petang semalam.

Hadir sama, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan pegawai-pegawai kanan UUM.

Pada majlis itu, turut diadakan penyerahan Bakul Rahmah kepada dua pelajar orang kurang upaya (OKU) iaitu Muhammad Alif Ahmad Tarmidi, 23, pelajar Semester 6, Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Ahmad Danial Kaml Mubarak Khan, 21, pelajar Semester 2, Sarjana Muda Sains (Sains Pemutusan).

Lawatan Menteri KPDN diteruskan ke Sesi Libat Urus Bersama Mahasiswa UUM di Tapak Konvo (Padang Hoki), UUM sempena Pesta Konvokesyen Ke-35 UUM.

Salahuddin turut melancarkan Jelajah Jualan Rahmah Peringkat Negeri Kedah dan menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada 300 pelajar dan 10 staf terpilih, seterusnya melawat tapak niaga (Menu Rahmah).

Program Jualan Rahmah mula diperkenalkan Januari lalu dijalankan menerusi tiga kaedah iaitu dalam premis, luar premis serta secara bergerak. Sehingga hari ini, sebanyak 36 lokasi terlibat dengan Jualan Rahmah ini di sekitar negeri Kedah.

Program Jelajah Jualan Rahmah di UUM dilaksanakan selama dua hari mulai semalam bermula jam 10 pagi hingga 10 malam. Antara barangan dijual sepanjang program ini ialah ayam segar, telur, minyak masak peket, gula, tepung gandum, beras, kicap, bawang besar, susu pekat, sos cili dan ubat gigi.