UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Gagal SPM cetus semangat penerima Anugerah Pelajaran Diraja

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

SINTOK: “Saya pernah gagal beberapa subjek dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga menyebabkan permohonan menyambung pengajian tinggi menerusi UPU ditolak sebanyak dua kali,” ujar Muhammad Azri Mizra, 25, penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Majlis Konvokesyen Ke-36 Universiti Utara Malaysia (UUM).

Graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) ini berkata, kegagalan tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya, malah menjadikan fasa kehidupan gelap dilalui sebagai pembakar semangat untuk berusaha dengan lebih gigih dan komited dalam meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Muhammad Azri Mizra.

“Alhamdulillah, hasil berkat, doa dan usaha, saya berjaya menyambung pengajian ke peringkat diploma di Kolej Profesional MARA sebelum melanjut pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UUM dengan bantuan biasiswa penuh daripada Yayasan Bank Rakyat dan mendapat Biasiswa Tokoh Siswa daripada Menteri Pendidikan Tinggi.

“Mengenang apa yang telah dilalui ini membuatkan saya ingin memberikan semula sumbangan kepada masyarakat. Saya ingin memulakan organisasi sukarelawan atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu belia yang sukar mencari pekerjaan, hilang keyakinan dalam pelajaran serta menyelesaikan isu kemiskinan bandar, selain berbakti semula kepada universiti,” kata Muhammad Azri yang kini bekerja sebagai ‘Procurement Specialist’ di syarikat multinasional, Nestle Product Sdn Bhd di Petaling Jaya.

Anak kedua daripada empat beradik ini juga bersyukur kerana berjaya mendapat pekerjaan di syarikat berkenaan dengan menerima gaji premium dan kini beliau sedang mengikuti pengajian di Semester 1, Sarjana Perniagaan Antarabangsa di UUM Kampus Kuala Lumpur.

Takut berhadapan dengan kegagalan menjadikan seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Kaavilash Nair a/l Jason Raja, 24, untuk sentiasa menambahbaik kekurangan diri dan belajar dari kesilapan.

Kaavilash Nair (tengah) bersama ibu bapa dan ahli keluarga di Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM, hari ini.

“Saya merupakan seorang yang bimbang dengan kegagalan dalam apa jua perkara yang dilakukan tetapi sentiasa menganggap kegagalan tersebut sebagai peluang untuk belajar dari kesilapan dan bertambah baik untuk meningkatkan diri.

“Cabaran yang saya pernah harungi juga adalah menguruskan masa secara efektif. Cara saya menghadapi cabaran ini adalah dengan mempunyai sokongan daripada keluarga, pensyarah dan rakan sebaya,” kata graduan Sarjana Muda Komunikasi ini.

Anak kepada Jason Raja a/l R Mariappan dan Kartiyani Anitha a/p Ramanathan turut berterima kasih kepada UUM atas penganugerahan tersebut dan bertekad untuk melangkah ke arah kerjaya yang sejajar dengan minat, nilai dan usaha.

Sementara itu, kejayaan menerima anugerah utama universiti pada majlis konvokesyen sesi pertama ini turut dikongsi bersama penerima Pingat Emas Canselor, Nurfarazida Salleh, 23, dari Kemaman, Terengganu.

Nurfarazida Salleh.

Graduan Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam itu melahirkan rasa syukur atas penganugerahan tersebut meskipun pernah melalui cabaran apabila mengikuti kuliah secara dalam talian berikutan penularan Covid-19 pada 2020.

Namun, dorongan dan semangat untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang membangkitkan semula kekuatan anak bongsu daripada empat beradik ini untuk mengejar cita-cita, sekali gus tidak mahu menghampakan harapan orang tua.

Nurfarazida mengakui belajar secara dalam talian hampir dua tahun sangat sukar sehingga beliau tidak dapat fokus.

“Sukar untuk berkomunikasi secara efektif dengan pensyarah dan rakan sekuliah ketika itu, namun saya tetap cuba memberi fokus dan mengadakan perbincangan bersama pensyarah tentang silibus dan tugasan.

“Saya bersyukur kerana sepanjang belajar dari rumah, ibu bapa dan keluarga serta pensyarah dan rakan-rakan memberikan sokongan dan kami saling membantu,” kata anak kepada Salleh Awang, 66, dan Khopiah Ismail, 65.

Nurfarazida yang kini membantu bapanya di kampung halaman berharap untuk mendapat pekerjaan stabil agar dapat membantu keluarga, seterusnya membalas jasa orang tuanya.

Beliau turut berkongsi rahsia kejayaan iaitu sering mengadakan solat hajat dan membaca Al-Quran.

Ketiga-tiga graduan ini menerima anugerah yang dikurniakan oleh Canselor UUM, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Dr. Mohd Foad Sakdan berucap di Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM, pagi tadi.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah utama universiti itu dan berharap kejayaan mereka dapat menjadi inspirasi kepada semua pelajar UUM dan juga graduan.

Katanya, rata-rata graduan ini telah bekerja dan menerima gaji premium seperti yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi berkaitan gaji premium untuk graduan, iaitu melebihi RM4,000 sebulan.