UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Gempa bumi gegar Kepulauan Solomon

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar AFP

WELLINGTON: Gempa bumi kuat magnitud tujuh menggegarkan Kepulauan Solomon tengah hari tadi.

Tiada laporan awal mengenai kemusnahan besar harta benda atau kemalangan jiwa, malah amaran tsunami yang dikeluarkan sebelum ini ditarik balik selepas gegaran berkurangan.

Jurucakap kerajaan, George Herming berkata, beliau berada di pejabatnya di tingkat dua sebuah bangunan di ibu negara, Honiara apabila gempa menggegarkan bandar itu sehingga memaksanya berlindung di bawah meja.

“Gegaran kuat ini membuatkan semua terkejut. Meja, kerusi dan buku-buku berselerakan tetapi tiada kerosakan besar pada struktur bangunan,” katanya.

Penduduk setempat berkumpul di ruang terbuka di Honiara selepas gempa bumi melanda Kepulauan Solomon. – Foto AFP

Herming berkata, Kepulauan Solomon yang mempunyai sekitar 700,000 penduduk tidak mempunyai banyak bangunan pencakar langit yang berisiko rosak akibat gempa bumi.

Bagaimanapun, ramai orang panik dan berlaku kesesakan lalu lintas apabila semua bergegas memandu kenderaan menuju ke tempat tinggi.

Wartawan bebas, Charley Piringi berkata, dia sedang berdiri di luar sekolah di pinggir Honiara apabila gempa bumi melanda menyebabkan kanak-kanak bertempiaran lari.

“Gempa bumi menggegarkan seluruh kawasan persekitaran. Kami semua terkejut dan ramai berlari ke sana sini,” katanya.

Menurut Pemantau Geologikal Amerika Syarikat (AS), pusat gempa dikesan di kawasan lautan, sekitar 56 kilometer (km) ke barat daya Honiara dengan kedalaman 13 km.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik pada awalnya, memberi amaran mengenai kemungkinan ombak besar di wilayah itu tetapi kemudian menolak kemungkinan wujud ancaman tsunami. – AFP