KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memulakan titah ucapan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 dengan mengajak ahli Parlimen bertafakur dan menyedekahkan al-Fatihah bagi mengingati mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Baginda turut menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada Perdana Menteri Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, rakyat Turkiye dan Syria berikutan malapetaka yang melanda negara berkenaan.
“Sesungguhnya, Malaysia berasa amat dukacita di atas musibah tersebut, justeru Beta meminta ahli-ahli Yang Berhormat untuk berdiri bertafakur bersama Beta, dan kepada yang beragama Islam, marilah kita sedekahkan al-Fatihah,” titahnya di sini, pagi ini.
Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.