UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Geng 3R Plastik STML SULAM santuni warga Felda Batu 8

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Berita dan gambar Prof Ts. Dr. Mohd Rizal Razalli/UUM Today

CHANGLUN, 18 Januari – Seramai 44 pelajar dari Program Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), bersama pensyarah mereka, Prof. Ts. Dr. Mohd Rizal Razalli telah menyantuni warga Felda Batu Lapan dalam Program ‘Geng 3R Plastik STML SULAM Bersama Komuniti’ di Masjid Felda Batu Lapan pada Selasa lalu.

Dr. Mohd Rizal berkata, program yang turut mendapat sokongan daripada E-Idaman Sdn Bhd itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai amalan 3R (Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula) dalam kalangan masyarakat setempat.

Menurutnya, program dimulakan dengan acara gotong-royong membersihkan Masjid Batu Lapan, diikuti dengan pengutipan barangan kitar semula di sekitar kampung serta perkongsian mengenai 3R yang dikendalikan oleh pelajar kursus secara berkumpulan.

“Selain itu, pameran produk dari barangan kitar semula seperti kotak, botol plastik dan pakaian terpakai yang dihasilkan oleh pelajar UUM turut diadakan serta pengumpulan barangan kitar semula yang berjaya dikutip sebanyak 340.6 kg dan hasil wang jualan diberikan sepenuhnya kepada Masjid Felda Batu Lapan.

“Program ini adalah sebahagian daripada kursus Seminar Pengurusan Operasi (BJMP3083) yang menitikberatkan pada amalan 3R sebagai langkah proaktif untuk menjaga alam sekitar,” katanya.

Pelajar STML dan masyarakat setempat turut terlibat dalam pelbagai aktiviti, termasuk sesi kuiz mengenai konsep 3R dan ceramah berkaitan kepentingan amalan 3R. Inisiatif seperti ini dianggap sebagai cara yang efektif untuk menyebarkan kesedaran tentang isu-isu alam sekitar kepada masyarakat.

Pengurus Felda Batu Lapan, Azhar mengucapkan terima kasih kepada pelajar dan pensyarah STML, UUM yang telah menjayakan program ini.

Wakil E-Idaman Sdn. Bhd, Mukhriz menegaskan bahawa kerjasama ini membantu membentuk komuniti yang lebih prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.

“Program Kesedaran Alam Sekitar Geng 3R Plastik di Masjid Felda Batu Lapan ini diharapkan dapat memberikan impak positif kepada masyarakat setempat dan menjadi satu langkah proaktif dalam mencapai matlamat kelestarian alam sekitar yang lebih baik,” katanya.