UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Gerakan Anak Sastera (GERAS) berjaya memasyarakatkan sastera

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar SLCP/UUM Today

SIK: Julung kalinya pelajar tahun akhir program Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menganjurkan program kemasyarakatan atau Service Learning Malaysia (SULAM) iaitu Santai Sastera Bersama GERAS di Sik, Sabtu lalu.

Program Santai Sastera yang dilaksanakan di bawah kursus Pengurusan dan Pemasaran Karya Kreatif berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Betong dan dihadiri oleh seramai 150 peserta yang terdiri daripada murid Tahun 2 hingga Tahun 6 dan guru pentadbir SK Kampung Betong, penduduk Kampung Betong serta pensyarah daripada Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), UUM.

Pengarah Program, Muhammad Ikmal Raipin menyifatkan program ini sebagai pemula yang dapat menyuntik elemen kecintaan warisan bangsa kepada khalayak muda yang lebih banyak terdedah kepada hiburan dari Korea dan Jepun.

Menurutnya, pengetahuan asas yang dibekalkan secara santai ini diharapkan dapat mengukuh minat khalayak ini kepada puisi dan karya kreatif tradisional yang bernuansakan kontemporari.

Beliau turut menzahirkan rasa terharu kerana dapat menyumbang bakti kepada pusat pengajiannya iaitu Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah sebelum mereka meninggalkan universiti pada Februari ini.

Mengulas keazaman dan semangat yang ditonjolkan oleh para pelajar BCLCIM untuk mengadakan program tersebut di sekolahnya, Pengetua SK Kampung Betong, Noor Aniza Noor Mohamad menyatakan bahawa program ini sedikit sebanyak dapat memupuk minat anak-anak muda terhadap sastera dan menyuntik semangat mereka untuk menyambung pengajian ke menara gading. 

“Program ini telah memberikan pengalaman yang cukup berharga kepada anak-anak SK Kampung Betong dan berjaya merapatkan lagi hubungan antara mahasiswa dengan warga akademik Universiti Utara Malaysia,” katanya.

Pelbagai pengisian yang menarik telah disusun atur untuk memberikan pendedahan kepada warga SK Kampung Betong tentang sastera. Antara kegiatan yang mendapat sambutan ramai termasuklah acara senamrobik, aktiviti teka-teki peribahasa, teka silang kata, aktiviti ekspresi emosi, aktiviti pergerakan, mainan kata serta latihan pernafasan dan vokal.  

Murid SK Kampung Betong turut mempersembahkan syair hasil ciptaan Nurhaiza Rizul, pelajar program BCLCIM, manakala pelajar program BCLCIM juga turut berjaya membimbing pelajar-pelajar SK Kampung Betong untuk mendeklamasi gurindam dan puisi hasil ciptaan mereka sendiri dalam program sehari ini. – Alma Nur Fajrina Abdul Razak