UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Gotong-royong Perdana INASIS UUM terap semangat kesukarelawanan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today

SINTOK: Gotong-royong Perdana INASIS menjadi wadah penerapan semangat kesukarelawanan sebagai satu ibadah dalam kalangan warga Universiti Utara Malaysia (UUM), khususnya golongan pelajar.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, aktiviti kesukarelawanan merupakan satu amal ibadah dan seharusnya setiap individu menawarkan diri untuk menyertai aktiviti tersebut seperti misi kemanusiaan banjir.

Menurutnya, aktiviti kesukarelawanan merangkumi skop yang luas yang melibatkan penyertaan aktif belia dan komuniti dalam pelbagai aspek seperti kehidupan, bantuan dan khidmat sokongan dalam konteks pembangunan komuniti, pendidikan kesihatan, sosio-ekonomi, pertanian, alam sekitar, bencana, kebajikan perpaduan dan lain lain.

Justeru, katanya, beliau menggalakkan warga UUM khususnya pelajar untuk tampil aktif dalam kerja-kerja kesukarelawanan, selain fokus kepada akademik.

Naib Canselor berkata demikian ketika merasmikan Gotong-royong Perdana sempena Hari Sukarelawan Peringkat Inapan Siswa (INASIS) di INASIS MAS pada Jumaat lalu.

Dr. Mohd Foad berkata, Hari Sukarelawan merupakan satu pengiktirafan dan inisiatif untuk menghargai usaha dan semangat sukarelawan yang menyumbang tenaga dan masa membantu komuniti setempat.

Menurutnya, aktiviti gotong-royong yang dilakukan secara sukarela dan secara bersama ini dapat menceriakan lagi persekitaran INASIS dan juga mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.

Program Gotong Royong Perdana itu telah disertai lebih 600 pelajar dari 15 INASIS UUM.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan pengetua-pengetua INASIS. – Kirti Vithyananthan (Pelajar Pelatih dari SMMTC)