UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Graduan 2022 yang tertangguh ketika serangan Covid-19 terima Ijazah

Samsudin Oli

Samsudin Oli

Journalist and Assignment Editor for UUMTV .

SINTOK – Kumpulan terakhir graduan 2022 yang tertangguh kerana serangan COVID-19 akhirnya menghadiri konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-35 di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, seramai 6,694 graduan akan menerima ijazah sepanjang sembilan sesi yang diadakan mulai 23 hingga 27 Julai 2023.

Daripada jumlah itu, seramai 5,743 graduan adalah peringkat Sarjana Muda dan 951 graduan pascasiswazah termasuk 380 graduan dari pelbagai negara.

Di majlis ini beliau turut berkongsi pencapaian UUM yang akan menjangkau usia 40 tahun pada 16 Februari 2024 nanti.

Katanya, UUM kini mempunyai pelajar seramai 32,665 iaitu 26,774 pelajar sarjana muda dan 5,881 peringkat pascasiswazah.

Manakala jumlah alumni kini telah mencecah 160,187 orang sejak penubuhannya pada tahun 1984 dan dalam tempoh ini 36.4 peratus alumni merupakan graduan syarikat swasta, 35 peratus bekerja di sektor awam dan 17.4 peratus pula bekerja di syarikat swasta multinasional.

Bagi menjadikan program akademik di universiti ini menarik dan kompetitif, UUM akan memperkenalkan tiga program sarjana muda bersifat Hibrid dan Anjal atau Hyflex yang berasaskan pengajian dua tahun di universiti dan dua tahun di rumah (2u2h) atau tiga tahun di universiti dan setahun di rumah (3u1h).

“Tiga program akan kita tawarkan pada sesi kemasukan Oktober 2023 ini iaitu Sarjana muda Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Muda Pengurusan Awam dan Sarjana Muda Pengurusan Acara nanti,” sambung beliau dalam ucapan aluan sempena Konvokesyen ke-35 ini.

Sementara itu bagi mereka yang bekerja dan tidak mempunyai masa untuk menghadiri kuliah secara bersemuka di UUM Sintok atau di Kampus UUMKL sebanyak 13 program peringkat sarjana turut ditawarkan secara ODL atau Open and Distance Learning mulai September nanti.

Menyentuh mengenai kebolehpasaran graduan (GE) pula beliau berkata, pada tahun 2022 pencapaiannya meningkat 10 peratus iaitu sebanyak 94.4 peratus berbanding pada 2021 yang mencatatkan 84.4 peratus.

Di majlis konvokesyen kali ini juga menyaksikan beberapa pencapaian di kalangan graduan antaranya Wong Wei Jie dari program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) yang berjaya menempatkan diri dalam syarikat Denmark, Maersk Omnichannel Fulfilment yang berpengkalan di Singapura sebagai Global Management Trainee dengan gaji permulaan sekitar RM11,000.

“Moga skrol ijazah yang dikurniakan sempena konvokesyen ini akan menjadi tanda bahawa mereka sudah berilmu dan bersedia untuk berbudi dan berbakti,” ujar beliau dalam ucapannya.