Gambar Mohd Fuad Hamid/UUM Today
SINTOK: Dalam dunia profesional kini, penguasaan bahasa asing selain Bahasa Malaysia sangat penting khususnya kepada golongan graduan.
Titah Tunku Mahkota Kedah Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Pro-Canselor, bukan sahaja Bahasa Inggeris, tetapi Bahasa Mandarin dan Bahasa Arab juga patut diberi keutamaan.
Tunku Pro-Canselor bertitah, dunia sekarang sangat berbeza berbanding 10 tahun yang lalu. Setiap hari kemungkinan baru muncul, individu boleh mencari rezeki melalui media sosial, malah kerajaan juga turun naik sepanjang masa sekarang. Pekerja boleh bekerja dari rumah dan pelajar boleh memilih untuk menghadiri kelas fizikal atau dalam talian.

“Selama empat tahun ini, graduan telah menunjukkan dedikasi dan komitmen di universiti dan berjaya memperoleh ijazah. Komitmen itu kini mesti diteruskan sebagai graduan UUM yang akan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.
“Jangan pernah berhenti belajar, teruskan komitmen yang anda tunjukkan selama 4 tahun lepas. Cuma kali ini, anda perlu melakukannya sendiri setelah bergraduasi,” titahnya pada Sesi Ketiga Majlis Konvokesyen Ke-35 UUM, petang semalam.
Pada sesi ini, seramai 478 graduan terdiri penerima Sarjana, Diploma Pascasiswazah Pendidikan, Diploma Pascasiswazah Pembelajaran dan Pengajaran Pendidikan Tinggi serta Sarjana Muda telah menerima ijazah masing-masing daripada Tunku Pro-Canselor.
Turut berkenan berangkat mengiringi Tunku Pro-Canselor ialah Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff, Tunku Puan Mahkota Kedah.

Tunku Mahkota Kedah bertitah, graduan akan mempunyai peluang yang lebih baik jika memiliki sikap ingin terus belajar dan pada masa sama terus menguasai kemahiran bahasa dan komunikasi.
Titahnya, sebagai graduan UUM perlu meneruskan komitmen untuk terus belajar bagi memajukan diri, seperti yang telah ditunjukkan sepanjang 4 tahun lalu.
“Sikap ini penting bagi menyaingi dunia hari ini yang mengalami perubahan dan kemajuan yang ketara. Oleh itu, pupuklah sikap untuk terus belajar.
“Di samping itu, teruskan usaha untuk menguasi bahasa-bahasa antarabangsa serta tingkatkan kemahiran berkomunikasi,” titahnya.