UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

GSRCS medium strategi perkasa kepimpinan pelajar kolej kediaman

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

SINTOK, 6 Mac – Global Student Residential Council Summit (GSRCS) menjadi platform kepada lebih 150 peserta dalam dan luar negara untuk bertukar idea, strategi dan amalan terbaik dalam memupuk aktiviti pelajar dan model kepimpinan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, sidang kemuncak ini sangat signifikan dalam memupuk kecemerlangan kepimpinan pelajar dan memajukan pembangunan komuniti kolej kediaman.

Menurutnya, dengan mengamalkan nilai-nilai kesukarelawanan, kerjasama dan sokongan masyarakat, sidang kemuncak ini akan memupuk budaya kepimpinan sivik dan tanggungjawab sosial dalam kalangan badan pelajar.

Katanya, objektif utama GSRCS ini adalah untuk meningkatkan kecemerlangan kepimpinan pelajar, memupuk modal insan yang kreatif dan proaktif serta memartabatkan kolej kediaman sebagai pusat kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

“Melalui sesi forum, kita berusaha untuk membangunkan model inovatif kepimpinan pelajar yang bukan sahaja memenuhi keperluan komuniti hari ini tetapi juga membuka jalan kepada generasi pemimpin masa depan yang bersedia untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Pada dasarnya, GSRCS 2024 merangkumi semangat harapan, kemungkinan dan usahasama. Marilah kita memanfaatkan kerjasama dan inovasi ini untuk memacu kolej kediaman ke arah yang lebih cemerlang,” katanya berucap di Majlis Perasmian Global Student Residential Council Summit 2024 di EDC UUM, hari ini.

GSRCS 2024 turut menjemput Pengerusi Majlis Perumahan Universiti Awam Malaysia (MAPUM), Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi untuk menyampaikan ucaptama beliau bertajuk ‘Empowering Youth Leadership’.

Program ini merupakan anjuran Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (MPJ) UUM yang julung kali diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman tentang kepentingan, cabaran dan peluang yang dihadapi oleh pemimpin kolej kediaman dalam skala global.

Penganjuran sidang kemuncak ini akan menjadi medium perkongsian maklumat dalam merancang dan membangun kemahiran kepimpinan yang sesuai dengan cabaran global dengan berfokus kepada aspek kerjasama antarabangsa, tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan kelestarian teknologi dalam meningkatkan keberkesanan kepimpinan dalam membangunkan aktiviti kemahasiswaan.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail dan Pengarah GSRCS, Muhammad Mustaqeem Suharto.