SINTOK: Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berharap segala dapatan yang diperoleh daripada audit SETARA seluruh negara dapat membantu kerajaan membuat perancangan lebih rapi tentang pengajian tinggi di negara ini.
Hasrat beliau itu disuarakan di Mesyuarat Pembukaan Audit SETARA 2022 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Bilik Mesyuarat Senat, pagi tadi.
Selain itu, menurut Haim Hilman lagi, melalui dapatan audit berkenaan juga pihak universiti dapat memperbaiki sebarang kelemahan serta mengambil pendekatan strategik bagi meningkatkan prestasi menyeluruh universiti.
Dalam ucapan pembukaan tersebut, beliau turut menyatakan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana memberi kepercayaan kepada UUM untuk menjadi hos Zon Utara.
“Saya juga amat berbangga kerana Jabatan Pendidikan Tinggi mengambil langkah membuat pengauditan sendiri dan tidak bergantung kepada juruaudit luar seperti sebelum ini.
Hal ini merupakan langkah yang bijak memandangkan hanya mereka yang berada di industri pengajian tinggi memahami situasi dan senario semasa,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Ketua Auditor SETARA Zon Utara, Prof. Ir. Ts Dr. Vinesh Thiruchelvam semasa membuat ucapan balas memaklumkan tiga fungsi utama yang menjadi fokus pengauditan kali ini iaitu pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan dan inovasi, dan akhir sekali perkhidmatan.

Proses pengauditan yang dimulai UUM ini akan melihat data berkaitan mulai 2019 hingga 2021.
Mulai tahun 2022, pengauditan SETARA akan dibuat setiap tahun berbanding sebelum ini.
SETARA hanya menilai universiti yang berusia lima tahun ke atas dan dalam penilaian SETARA, UUM dikategorikan dalam ‘mature university’ bagi kategori universiti melebihi usia 16 tahun.
UUM telah mencapai taraf lima bintang pada SETARA 2017 dan berjaya mengekalkan taraf tersebut bagi tahun 2018/2019.