PENDANG: Biarpun diberi jolokan dengan panggilan cikgu, guru, ustaz, pensyarah dan lain-lain lagi, merekalah yang menjadi tulang belakang dalam menggalas tanggungjawab untuk mendidik kita semua dahulu, kini dan akan datang supaya penyampaian ilmu itu dapat terus mengalir dengan jernihnya.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, peranan guru dalam memerah keringat bagi membentuk setiap insan agar menjadi seseorang yang berguna pada masa kini dan hadapan tidak dapat dipertikaikan lagi.
“Jemputan untuk berkongsi ilmu bersama warga pendidik dan masyarakat di sini saya terima dengan keterbukaan seiring dengan kesinambungan dari program UUM-PIBKS Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) yang telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini,” katanya ketika bersama lebih 800 warga pendidik dari seluruh Pendang yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang Jumaat lalu.
Haim Hilman menambah, program ini juga dilihat sebagai usaha untuk mendekatkan diri dengan universiti ini khususnya dan semua institusi pendidikan baik di Kedah atau Malaysia amnya.

Katanya, peranan warga pendidik ini amat besar dan perkongsian sebegini juga dilihat sebagai nilai tambah agar pembakaran semangat terus menyala dikalangan mereka.
Beliau juga turut berkongsi pengalaman dalam liku-liku kehidupannya dari sekolah rendah, menengah, universiti sehingga menjawat jawatan sebagai Naib Canselor UUM sekarang.
Program yang dianjurkan Pejabat Pendidikan Pendang dan Yayasan Pendidikan Pendang ini turut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Dato’ Suraya Yaacob.
Beliau yang ditemui berkata, program sebegini dirancang bagi menyuntik semangat di kalangan warga pendidik serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di daerah ini sekali gus mengiktiraf pengorbanan pendidik dalam mendidik pelajarnya menjadi orang yang berguna kepada diri, masyarakat, agama dan negara.

“Jemputan tokoh tersohor negara, Prof Dr Haim Hilman Abdullah ke bumi Pendang ini pastinya dapat menyuntik semangat dikalangan yang hadir kerana beliau cukup dikenali keperibadian marhain yang berjaya menawan puncak kejayaan akademik,”ujarnya ketika ditemui.
Beliau yakin dengan perkongsian itu warga pendidik akan merasakan keseronokan bekerja bukan saja memberi manfaat dalam mendidik anak bangsa, malah akan diberi ganjaran oleh Allah di dunia mahupun akhirat nanti.