UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Hampir sedekad siapkan naskah ilmiah muzik Islam di Malaysia

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Shamsaimi Ezil/UUM Today

KUALA LUMPUR: Hampir 10 tahun menyiapkan naskah legasi ilmiah, akhirnya selebriti nasyid tanah air, Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris melancarkan buku bertajuk ‘Popular Music: Making Islamic Popular Music in Malaysia From Traditional Approach to Contemporary Design’.

Beliau yang merupakan pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mengambil masa selama tujuh tahun untuk membuat kajian secara mendalam yang melibatkan lebih 45 orang penggiat industri muzik di Malaysia serta dua tahun untuk proses penilaian dan suntingan, menjadikannya 9 tahun bagi menyiapkan naskhah tersebut.

Buku karya Fitri Haris mengambil masa hampir 10 tahun yang memfokuskan muzik Islam di Malaysia.

Karya ilmiah terbitan UUM Press itu merupakan buku etnomusikologi komprehensif pertama seumpamanya di dunia dan di Malaysia yang memberikan kajian mendalam tentang kesan sosiologi dan antropologi muzik popular Islam di negara ini. 

Mohamad Fitri berkata, beliau gembira akhirnya buku yang dihasilkan selama sembilan tahun itu berjaya diterbitkan setelah melalui pelbagai peringkat termasuk penilaian dalaman dan luar.

Menurutnya, untuk menerbit atau menghasilkan karya ilmiah perlu mengikut polisi atau ‘guideline’ tertentu dari awal hingga akhir.

Lebih mengujakan apabila buku beliau itu merupakan satu-satunya buku di Malaysia dan dunia yang menceritakan tentang muzik Islam (Islamic music) secara komprehensif berdasarkan penilai panel luar.

Fitri Haris mahu mempromosikan buku beliau ke pasaran luar negara dalam usaha menyebar luas tentang nasyid dan muzik Islam.

“Ini membuatkan saya lebih bersemangat dan teruja untuk menyebar luas buku ini bukan sahaja menyasarkan golongan Muslim, malah semua peringkat tanpa mengira latar belakang dan agama.

“Di dalam buku ini, saya mengupas dan menjelaskan tentang apa itu nasyid..muzik Islam. Malah, buku ini juga tidak eksklusif untuk Muslim sahaja tetapi ia ditulis untuk ilmu yang tidak terikat kepada sesiapa,” katanya yang turut merancang untuk mempromosikan buku tersebut ke luar negara.

Buku ini sarat dengan informasi berkenaan nasyid serta artikel ilmiah muzik dalam Islam dan mengenal pasti peranan yang dimainkan oleh globalisasi dalam membentuk muzik popular Islam.

Pelancaran buku itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed di UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL), semalam.

Ahmad Martadha menggalakkan lebih ramai pengarang dapat menghasilkan karya ilmiah yang memberi impak.

Dalam ucapan Ahmad Martadha berkata, majlis tersebut besar maknanya kepada warga UUM kerana buku yang diterbitkan itu adalah satu sumbangan besar kepada UUM dan industri muzik tanah air.

“Suatu hakikat yang tidak dapat diketepikan bahawa penulisan ahli akademik menjadi tunjang kepada kecemerlangan dunia akademik ilmiah. 

“Bertitik tolak daripada itu, Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) merakamkan dengan penuh kesungguhan, minat dan bakat yang mendalam tentang dunia muzik dalam bukunya.

“Buku karya ilmiah ini merupakan karya ilmiah yang boleh dijadikan sebagai modul muzik terutamanya nasyid yang bersifat komprehensif yang pertama seumpamanya,” ujarnya.

Tambah beliau, kerjasama yang boleh dijalin antara industri muzik dengan bidang akademik, keandalan dan kemapanan industri muzik boleh dipertingkatkan lagi melalui kolaborasi dalam kedua bidang ini, sekali gus membawa manfaat bersama bukan hanya kepada industri malah akademik.

Fitri Haria ketika dalam sesi perkongsian ringkas tentang buku beliau bertajuk ‘Popular Music: Making Islamic Popular Music in Malaysia From Traditional Approach to Contemporary Design’.

Beliau turut menyarankan agar lebih ramai pengarang dapat menghasilkan karya ilmiah sebegini yang boleh beri impak kepada negara mencapai kecemerlangan.

Buku tersebut boleh didapati pada harga RM50 dan potongan harga diberikan kepada mereka yang membeli melalui laman web UUM Press atau boleh terus menghubungi pihak pengurusan Dr. Fitri Haris di talian 011-2668 4664 untuk membuat pesanan.