UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Hari Ceria satukan warga UUM dan industri

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUM Today

SINTOK: Bagi meraikan semangat kebersamaan dan saling memerlukan antara satu sama lain antara warga universiti dan industri, Program Ceria Industri-Akademik-Admin (CERIA) telah diadakan di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, hari ini.

Program sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Staf UUM anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) itu adalah bagi memastikan agenda memacu UUM menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka tercapai dengan penglibatan pihak industri.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pihak industri telah menyediakan banyak faedah kepada UUM seperti membuka peluang pembelajaran dan perkembangan kepada pelajar, menyediakan perspektif dunia nyata dan membantu meningkatkan relevansi program UUM.

Antara pemain industri yang banyak memainkan peranan dalam pembangunan universiti adalah Epic Valley Sdn. Bhd. dan Yayasan Muhibah yang diasaskan oleh Tan Sri Dr. Fng Ah Seng yang juga Profesor Adjung TISSA.

Menurut Dr. Mohd Foad, kerjasama antara institusi pendidikan dan industri perlu dipertingkatkan bagi meneroka bentuk kerjasama yang lebih berimpak.

“Industri memainkan peranan penting dalam menyokong peningkatan kemahiran dan pengetahuan pelajar, di samping pelajar pula menjana idea-idea segar dan berinovasi kepada dunia perniagaan.

“Dengan adanya kerjasama antara universiti dan industri, ia akan mencerminkan sokongan yang berterusan bagi menjayakan misi dan visi UUM,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail.

Kira-kira 1,000 warga UUM telah menyertai Hari Ceria UUM 2023 yang turut menawarkan hadiah cabutan bertuah.

Sementara itu, Dr. Fng berkata, semangat ceria sangat penting untuk melahirkan warga kerja yang gembira dan sihat, sekali gus menjadi individu yang aktif dan proaktif melaksanakan tanggungjawabnya di tempat kerja.

Kata beliau, ceria, sihat dan semangat setiakawan amat penting untuk memastikan universiti maju ke hadapan.

“Sebagai sokongan bagi penganjuran aktiviti-aktiviti Majlis Profesor UUM, saya berbesar hati menyumbangkan RM20,000 kepada Majlis Profesor UUM.

“Di samping itu, pemberian diskaun khas juga akan diberikan oleh Epic Valley Holdings kepada warga UUM yang berhajat untuk memiliki kediaman dari pihak kita,” katanya yang turut menyumbang sebanyak RM10,000 kepada Kelab Kebajikan TISSA-UUM dan RM20,000 kepada TISSA-UUM.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang Hari Ceria seperti persembahan kebudayaan dan persembahan PALAPES UUM.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor UUM COB merangkap Dekan TISSA dan juga Pengarah Program Hari Ceria 2023, Prof. Dr. Ram Al-Jaffri Saad dan pegawai-pegawai kanan UUM serta Epic Valley Holding Sdn. Bhd. – Nor Erna Jaslia Mohamad Adam