UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Hari mengundi 19 November depan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

KUALA LUMPUR – Akhirnya teka-teki Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terjawab apabila rakyat di negara ini akan keluar mengundi pada 19 November depan.

Hal ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengadakan mesyuarat khas kira-kira jam 10.00 pagi tadi telah menetapkan bahawa PRU-15 akan diadakan pada 19 November 2022 bersamaan pada hari Sabtu.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media sebentar tadi.

SPR turut mengumumkan hari penamaan calon pada 5 November (Sabtu), manakala 15 November (Selasa) sebagai hari mengundi awal.

Tarikh 19 November itu juga ditetapkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada 19 November depan. Gambar Google

Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat melalui perutusan khas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Malaysia mempunyai sejumlah 222 kerusi Parlimen yang akan dipertanding pada PRU-15 ini.

Kali ini, enam negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, sekali gus menyebabkan akan berlakunya pilihan raya negeri (PRN) berasingan pada tahun depan.

Enam negeri itu ialah tiga di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, manakala tiga negeri lagi di bawah pentadbiran PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Hanya DUN Perak, Perlis dan Pahang yang dibubarkan, manakala DUN Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak pula tidak dibubarkan kerana baharu melalui PRN dan belum mencapai tempoh matang.