UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Hasilkan makanan ikan dari Azolla

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

PADANG TERAP: Permintaan tinggi terhadap ikan air tawar seperti tilapia, ikan keli serta udang air tawar menjadi penyumbang kepada pengeluaran akuakultur negara.

Pengarah Pusat Penyelidikan Sekuriti Makanan, Inovasi dan Pembangunan(FInDER), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail berkata, penternakan ikan dan hidupan akuatik lain merupakan sektor penting bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di samping menyumbang ke arah pemantapan sekuriti makanan negara.

Katanya, faktor iklim, sumber air yang tersedia dan pantai yang luas menjadikan Malaysia lokasi yang ideal untuk aktiviti akuakultur.

Pada tahun 2019, pengeluaran tilapia sahaja mencapai 485,817 tan metrik, manakala ikan keli dan udang air tawar masing-masing menghasilkan 203,074 tan metrik dan 156,200 tan metrik.

“Dengan pertumbuhan industri yang pesat ini, keperluan makanan haiwan untuk menampung sektor ini juga meningkat dengan pesat. Malangnya, kekurangan makanan ikan dan kos makanan ikan yang tinggi di Malaysia telah menjadi cabaran besar bagi industri akuakultur.

“Masalah ini disebabkan oleh peningkatan permintaan untuk makanan ikan di seluruh dunia, ditambah pula dengan ketersediaan bahan mentah yang terhad dan turun naik dalam harga bahan-bahan ini,” ujarnya.

Setakat ini, hanya sekitar 30 peratus daripada permintaan ini dipenuhi oleh pengeluar tempatan, dengan selebihnya diimport. Pergantungan kepada import ini telah menyebabkan industri terdedah kepada turun naik harga global dan gangguan rantaian bekalan.

Kos makanan ikan yang tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, juga telah menjadi cabaran besar bagi industri akuakultur. Pada tahun 2021, harga makanan ikan di Malaysia adalah di antara RM2.70 hingga RM4.00 sekilogram, bergantung kepada jenis dan kualiti makanan. Kekurangan dan kos makanan ikan yang mahal telah memberi kesan buruk kepada industri akuakultur.

Bagi menampung kos operasi, para penternak ikan terpaksa menggunakan pengganti yang lebih murah dan kurang berkhasiat sebagai makanan ikan, yang menyebabkan kadar pertumbuhan yang lebih rendah, kadar kemandirian yang berkurangan dan produk yang kurang berkualiti selain menyebabkan penternak ikan berskala kecil gagal membina daya saing dengan ladang komersial yang lebih besar.

Menyedari fenomena ini, beliau mempelopori penghasilan makanan ikan yang diperbuat daripada sumber tempatan iaitu Azolla demi membantu para penternak.

Azolla merupakan sejenis tumbuhan hijau yang tumbuh secara bersimbiosis dengan sejenis cyanobacterium (alga biru-hijau) iaitu anabaena yang didapati tumbuh dengan banyak di dalam kolam air dan juga sawah padi di negara Asia.

“Terdapat pelbagai spesies Azolla, setiap satunya mempunyai potensi yang besar untuk dikomersialkan dalam bidang makanan dan juga kosmetik. Negara luar seperti India, Indonesia dan Filipina pula banyak menggunakan Azolla sebagai makanan ternakan.

“Di Malaysia, usaha yang sama telah dilakukan tetapi kegunaan Azolla belum mencapai tahap yang optimal dan signifikan untuk menampung keperluan industri ternakan tempatan,” jelasnya.

Sebelum ini, Risyawati telah menghasilkan makanan ayam daripada Azolla dan produk tersebut sedang menjalani ujian lapangan terakhir sebelum dikomersialkan.

“Melihat kepada masalah bekalan makanan yang sama dalam sektor akuakultur, saya     menggunakan Azolla untuk menghasilkan pelet makanan ikan, selain daripada pelet makanan ayam. Setakat ini prototaip itu telah lulus ujian makmal dan sedang dipersiapkan untuk melalui ujian lapangan yang lebih besar.

“Projek ini juga menggunakan platform jalinan kerjasama antara UUM dan komuniti penduduk kampung daerah Padang Terap di Kedah. Penduduk kampung yang terlibat merupakan penternak keli berpengalaman dan mereka merupakan pemegang taruh utama dalam rantaian bekalan ikan tempatan.

“Kerjasama yang erat bersama penternak ikan keli menjadikan projek ini lebih bermakna dan penyelidik memperolehi gambaran sebenar dan maklumat terperinci berkaitan operasi penternakan ikan secara akuakultur,” tambahnya.

Beliau menegaskan kepentingan kritikal untuk Malaysia membina keupayaan untuk menghasilkan bahan-bahan mentah tempatan bagi memastikan kos makanan ternakan yang mampu menjamin kemampanan sektor ternakan di masa hadapan.

“Saya percaya jika penyelidikan dilakukan secara terperinci dan menyeluruh terhadap pelbagai jenis sumber tempatan, kita akan mampu untuk menghasilkan makanan ternakan yang lebih ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah yang diimport dari luar negara,” katanya.

Penyelidikan ini turut dibantu oleh dua orang lagi ahli penyelidik dari STML, Dr. Mastora Mustafar dan Dr. Siti Zakiah Abu Bakar yang menumpukan kepada aspek ekonomi penternakan ikan keli di kawasan pendalaman Kedah.   

Projek penyelidikan makanan alternatif ini telah dimulakan sejak dua tahun lalu di UUM bagi membantu penternak B40 dan komuniti pedalaman untuk meneruskan kesinambungan projek ekonomi mereka dikala harga makanan ternakan semakin mahal.