UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Hayati erti sebenar kemerdekaan  

Siti Fatimah Abdullah

Siti Fatimah Abdullah

UUM Feature Editor and journalist for UUM TODAY news portal

Gambar Hairul Nizam Zahari/UUMToday

Sintok: Menyambut kemerdekaan bukan hanya sekadar pasang bendera dan menyanyi lagu patriotik, tetapi menghayati erti sebenar kemerdekaan dengan meletakkan perpaduan sebagai teras utama. 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, selari dengan tema hari kebangsaan iaitu Tekad Perpaduan Penuhi Harapan yang menekankan konsep perpaduan untuk maju ke hadapan. 

“Kemerdekaan terasnya adalah perpaduan, bagaimana mencapainya? Kita bersatu walaupun kita berbeza dan untuk bersatu perlu ada satu prinsip yang mengikat kita semua iaitu Rukun Negara yang menjadi tunjang kepada perpaduan sebab itulah banyak isu yang berlaku dalam negara akibat tidak faham dan tidak menghayati Rukun Negara.

“Setiap negara mempunyai identiti, bangsa merupakan identiti sesebuah negara. Walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, masing-masing boleh mengamalkan budaya, adat resam dan agama dan hidup dalam suasana harmoni, perbezaan inilah yang menjadikan keunikan dalam masyarakat. 

“Misalnya dalam Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama rasmi pada masa sama penganut agama lain boleh mengamalkan agama masing-masing  begitu juga Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi namun kaum lain masih boleh menggunakan bahasa mereka. Nilai kebersamaan inilah mewujudkan Kesatuan dalam Kepelbagaian (‘Unity in Diversity’),” katanya.

Jelasnya, untuk membina negara bangsa, setiap rakyat mestilah memiliki jiwa nasionalisme dan patrotisme, berpegang pada Rukun Negara, penguatan jati diri bangsa yang berkeperibadian dan berkebudayaan. 

“Dalam membentuk jati diri, budaya kena disulami dengan keperibadian bangsa, bila bangsa bersatu barulah boleh membentuk sebuah negara bangsa yang merdeka.

“Di sini letaknya peranan belia dalam membangunkan negara bangsa iaitu dengan mengamalkan nilai ketimuran berteraskan adat dan budaya bangsa, mengamal sikap toleransi terhadap masyarakat silang budaya, agama dan adat resam.

“Selain itu, memupuk pemikiran positif, rasional, terbuka, dan boleh menerima pandangan berbeza dalam erti kata lain jangan taksub pada satu pemikiran,” ucapnya pada Siri Syarahan 6 Santun Profesor: Memaknai Kemerdekaan Malaysia Peranan Generasi Millenial Dalam Permbinaan Negara Bangsa anjuran Perpustakaan Sultanah Bahiyah dengan kerjasama Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia yang berlangsung di Auditorium 1, PSB, semalam.

Menurutnya, merdeka bermaksud bebas dari penjajahan fizikal dan pemikiran, dalam konteks negara, kemerdekaan bermaksud bebas dari penjajahan politik, ketenteraan, ekonomi, sosial, budaya, dan informasi.

“Bagaimana mengisi kemerdekaan?  Kita perlu memahami pengertian kemerdekaan supaya tidak mudah dipengaruhi oleh tafsiran salah, membentuk jati diri dan sahsiah yang seiring dengan pembangunan diri holistik, menanam semangat cinta dan sayang kepada negara (patriotisme).

“Tujuan kita menyambut kemerdekaan adalah untuk meraikan pencapaian negara, menghargai jasa dan pengorbanan orang terdahulu, sebab itu kita kena belajar sejarah, hormat kepada sumbangan mereka, mengukuhkan perpaduan antara semua kaum, menyemai nilai patriotism dan apabila kita sayang kepada negara kita akan sanggup berkorban maka negara akan jadi lebih progresif.

“Kita mahu Generasi Z (Gen Z) yang tidak mudah dipengaruhi anasir luar, bukan apabila mereka dapat maklumat terus sebar tanpa selidik kesahihannya terlebih dahulu kerana jika ini berlaku maknanya kita belum merdeka sepenuhnya. Kita masih membiarkan orang lain mempengaruhi pemikiran kita.

“Justeru, saya harap Gen Z sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan belajar menghayati erti sebenar kemerdekaan kerana andalah yang akan mencorak kepemimpinan negara pada masa akan datang,” tambahnya.