UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

‘HICHKI: Oh My ENGLISH!’ bantu kuasai Bahasa Inggeris

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar INASIS Bank Rakyat

SUNGAI TIANG: Menyahut saranan Naib Canselor untuk ‘merakyatkan UUM’, Inapan Siswa (INASIS) Bank Rakyat dan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) telah menganjurkan program pertama di bawah Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) bersama 133 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang, baru-baru ini.

‘HICHKI: Oh My English!’ merupakan program berkonsepkan sistem pembelajaran di luar bilik darjah yang menyasarkan pelajar Tingkatan 4 sekolah berkenaan.

Pengarah program, Muhammad Izzat Darwisy Kamaruddin berkata program dijalankan selepas melihat kepada kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris dewasa ini.

Katanya, oleh itu program ini menjadi platform terbaik bagi meningkatkan keyakinan pelajar khusus, dari kawasan luar bandar.

Menurutnya, pada mulanya, ramai pelajar yang tidak yakin dan takut untuk bercakap menggunakan Bahasa Inggeris sepanjang program berlangsung.

“Hal ini sedikit membimbangkan, tambahan pula pelajar Tingkatan 4 ini bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan dan mereka perlu diberikan latihan dan tunjuk ajar secukupnya walaupun penggunaan Bahasa Melayu masih dibenarkan dalam program ini.

Pelajar dibahagikan kepada kumpulan bagi melakukan tugasan berbeza di program HICHKI: Oh My English!. Gambar INASIS Bank Rakyat/UUM Today

“Kita mahu semua pelajar selesa ketika berkomunikasi bersama-sama rakan, justeru fasilitator turut bersama membantu untuk menambahkan lagi keyakinan mereka,” katanya.

Muhammad Izzat berkata, di akhir program itu, dia melihat satu transformasi ke atas peserta yang pada mulanya malu dan takut bertukar menjadi pelajar bersemangat sehinggakan ada antara mereka berharap program HICHKI: Oh My English! dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Sementara itu, peserta, Charis Suwanchatri a/l Sucheer berkata, dia seronok dapat menyertai program tersebut kerana ia banyak membantu dalam penguasaan Bahasa Inggeris.

Tambahnya, dengan sokongan rakan-rakan dan fasilitator, dia belajar untuk berkomunikasi dengan lebih baik lagi.

‘Hichki: Oh My English!’ merupakan salah satu inisiatif UUM bersama pihak Penglibatan Ibu Bapa dan pihak Swasta (PIBKS) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah bertujuan untuk membina jalinan institusi pengajian tinggi dengan masyarakat setempat agar dapat menjadikan universiti bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi dapat memberi manfaat kepada komuniti sekitarnya.

Hichki: Oh My English! membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar Tingkatan 4, SMK Sungai Tiang. Gambar INASIS Bank Rakyat/UUM Today

Sepanjang program, pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melakukan tugasan berbeza. Antara aktiviti menarik yang dijalankan pada slot pertama adalah setiap kumpulan mestilah melantik seorang penulis dan selebihnya akan bergilir untuk mencari fasilitator sambil menggigit batang ais krim bagi mengelak pelajar tersebut memberitahu pelajar lain tentang keberadaan fasilitator tersebut.

Apabila pelajar sudah tiba di tempat tersebut, mereka diberikan satu ayat untuk dihafal selama satu minit dan kembali ke dalam kumpulan masing-masing, seterusnya memberitahu apa yang dihafal oleh penulis.

Lain-lain aktiviti termasuklah setiap kumpulan diberi arahan untuk mencari kad yang disembunyikan di sekitar kawasan persekolahan dan kumpulan yang berjaya mengumpulkan kad terbanyak berpeluang untuk menang.

Kad itu merupakan kad bergambar dan mereka perlu melakonkan sebuah cerita pendek berdasarkan kad tersebut dengan durasi empat minit. Dengan peruntukan masa selama sepuluh minit juga, setiap kumpulan mestilah melantik seorang wakil sebagai pencerita dan pelajar yang lain hendaklah melakonkan watak di atas pentas.