UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

‘HOPE Day’ pupuk sifat terpimpin pelajar

Gambar FB AIESEC

SINTOK: Pagi yang hening di kawasan ruang legar Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM hari ini bertukar ceria dengan kehadiran pelajar yang memeriahkan Hari Organisasi Badan Pelajar (HOPE Day) 2023 anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Universiti Utara Malaysia.

Timbalan Presiden Persatuan Inovasi Mahasiswa (INOVA), Harizmah Muhammad berkata, “Kelab kami memfokuskan program yang berimpak tinggi untuk dibawa ke peringkat antarabangsa.

“Kami mahu melahirkan lebih ramai pemimpin yang berbakat,” katanya.

INOVA pernah menganjurkan program seperti ASEAN Dialogue di Vietnam dan ASEAN Student Volunteer Mission di Cambodia.

Pelajar memenuhi foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah sempena HOPE Day 2023, baru-baru ini.

Dari kluster sukan, Muhamad Ariffin Mohd Ali yang merupakan Presiden Kelab Bowling Sesi 2022/2023 mahu menggilap bakat-bakat pelajar bagi menjadi pelapis atlet boling di UUM.

Muhammad Ariffin mengalukan semua pelajar yang berminat termasuk mereka yang tidak mempunyai sebarang pengalaman untuk mendaftarkan diri ke kelab ini.

Tambahnya, pendaftaran boleh dibuat di reruai atau melalui Instagram dan Facebook Kelab Bowling UUM.

Organisasi atau persatuan pelajar yang ditubuhkan itu bukanlah bersifat demi keseronokan semata-mata, tetapi ianya bertujuan memupuk sifat kepimpinan pelajar.

Antara reruai yang menyertai HOPE Day 2023 di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, baru-baru ini. Gambar FB Kelab Perkim UUM

Muhammad Haris Aiman dari Kelab Angkatan Mahasiswa Anti-Rasuah (AMAR) menyatakan bahawa kelabnya mahu mencipta dan membina jati diri seseorang individu dari terlibat dengan rasuah dan menanam sifat berintergriti di dalam diri.

Pelajar Semester 5, Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), Nurul Ain Natasya Mat Azman berkata, dia amat teruja melihat suasana HOPE Day yang meriah, tambahan pula HOPE Day baru diadakan secara fizikal selepas melalui pandemik Covid-19.

Hari Organisasi Badan Pelajar diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk menceburi bidang kokurikulum luar kelas. Sama seperti HOPE Day pada semester-semester lepas, HOPE Day kali ini diadakan selama dua hari bermula 3 sehingga 4 Januari 2023.

Terdapat lebih 100 kelab yang ditawarkan kepada pelajar merangkumi Kluster Kebudayaan dan Kesenian, Kluster Akademik, Kluster Kebajikan, Kluster Kerohanian, Kluster Khidmat Sosial, Kluster Seni Pertahankan Diri, Kluster Kesukarelawan, Kluster Kemahiran Tambah Nilai dan Kluster Sukan.