UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Hubungan kerjasama dengan negara Islam sangat penting

KUALA LUMPUR: Hubungan kerjasama dengan negara Islam sangat penting untuk meneruskan perkembangan agama Islam terutama dalam pengetahuan perbankan dan kewangan Islam kerana ia adalah keperluan dalam dunia moden Islam pada hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar berkata, kerjasama dalam membina rangkaian dengan negara-negara Islam seluruh dunia amat penting kerana kedua-dua pihak boleh belajar antara satu sama lain.

Menurutnya, kesediaan Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan latihan kewangan Islam kepada semua negara Islam di seluruh dunia sangat dialu-alukan kerana ilmu dalam bidang itu sangat diperlukan di negara Islam lain.

Tambah beliau, langkah dalam mengendalikan kursus di peringkat antarabangsa sangat penting untuk memartabatkan aspek perbankan dan kewangan Islam.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutup Program Certificate in Advanced Islamic Banking and Finance Executive Program (CAIBF) kepada 21 peserta dari Uzbekistan, semalam.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russyani Ismail berkata, latihan perbankan dan kewangan Islam anjuran Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) ini adalah langkah terbaik untuk melahirkan kerjasama antara UUM dengan Uzbekistan.

“Sesi ini sangat bagus kerana UUM mempunyai 16 pusat pengajian yang boleh memberi perkongsian ilmu dalam pelbagai bidang.

“Saya ingin mencadangkan agar kerjasama dengan Uzbekistan pada masa hadapan akan merangkumi bidang penyelidikan dan inovasi,” katanya.

Program latihan bermula 18 hingga 28 Januari 2022 itu dijayakan dengan kerjasama Akademi Perbankan dan Kewangan Republik Uzbekistan (BFA) yang membabitkan penceramah daripada industri perbankan dan kewangan Islam seperti Badjenid & Partners, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Bank Negara Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pensyarah dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS).

Latihan dan kursus itu merangkumi aspek teori dan praktikal yang diadakan dalam pelbagai topik seperti model perbankan Islam, wakaf, kewangan syariah, pengurusan halal, pelancongan halal, peraturan perbankan Islam dan takaful.