KUALA LUMPUR: Hampir semua negeri di utara tanah air dan bahagian tengah hingga selatan Semenanjung Malaysia mengalami hujan lebat dan ribut petir sejak jam 4 pagi tadi.
Pada jam 4 pagi tadi, Jabatan Meteorologi Malayia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melanda di kawasan tertentu hampir di seluruh Semenanjung.
Kejadian yang dijangka berterusan hingga jam 9 pagi itu membabitkan Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan dan Baling); Pulau Pinang (Barat Daya dan Timur Laut); Perak (Hulu Perak).
Di Kelantan pula membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok dan Pasir Puteh; Terengganu (Besut, Setiu dan Kuala Nerus) dan Pahang (Raub, Bentong, Bera, Pekan dan Rompin).
Bagi kawasan Lembah Klang pula membabitkan keseluruhan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, manakala menghala ke selatan melibatkan keseluruhan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Sementara itu di Sabah membabitkan kawasan Tawau.
MetMalaysia mengeluarkan amaran itu susulan terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Menurutnya, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam.
Susulan hujan lebat itu juga, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, aliran air di Lembangan Sungai Klang, Sub Lembangan Sungai Gombak dan Stesen Gombak di Jalan Tun Razak, mencatatkan paras bahaya pada jam 6.30 pagi tadi.
Katanya, aliran air di kawasan terbabit direkod pada paras 31.21 meter berbanding paras bahaya 31 meter.
Beliau menasihati pemandu yang sedang menuju ke tempat kerja sekitar Lembah Klang supaya berhati-hati susulan hujan lebat pagi ni.