UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

IBS-STF lahir sukarelawan berjiwa kental

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Siti Rasyidah Hassan

Gambar Muhamad Ibrahim Nayan/UUM Today

SINTOK, 17 Mac – Seramai 14 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang merupakan pelajar Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menyahut seruan untuk menjadi sebahagian dari pasukan sukarelawan IBS-STF di bawah program Geran Penyelidikan Dana Takaful Sosial (STF).

Ketua Fasilitator Program, Dr. Amirul Haqeem Abd Ghani berkata, geran ini memfokuskan kepada pembentukan tenaga mahir dan mempunyai kepakaran tertentu terutamanya pelajar IBS bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran insaniah tambahan sebagai nilai tambah dalam dunia pekerjaan kelak.

Menurutnya, sukarelawan IBS-STF ini telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang boleh menyerlahkan semangat kental dan keberanian dalam diri masing-masing dalam usaha untuk mencapai target dan misi yang diberikan.

Program anjuran IBS dan Social Takaful Fund ini diadakan di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong dan Sekolah Kebangsaan Siong, Baling dengan melibatkan beberapa orang fasilitator dan penyelidik geran yang terdiri daripada pensyarah IBS serta pensyarah UUM COLGIS.

Pada hari pertama diadakna sesi taklimat bagi memastikan setiap ahli sukarelawan mengenali diri mereka dan rakan-rakan seperjuangan. Mereka diarahkan untuk mengingati keunikan nama dan makanan yang tidak disukai sesama ahli pasukan dan aktiviti ini menambahkan lagi keakraban sesama mereka. Keakraban ini penting dalam misi kesukarelawanan kelak.

Selain itu, peserta juga diberi aktiviti untuk mencabar keberanian dan mengatasi perasaan geli dan takut masing-masing dengan mencari wang syiling di dalam bekas yang berisi katak, cengkerik dan ulat. Semangat setiakawan dapat ditonjolkan melalui pengorbanan mereka yang membuang jauh rasa geli dan takut demi mencapai misi yang ditetapkan. Aktiviti ini menerapkan nilai bahawa dalam program kesukarelawanan tiada perasaan geli, takut dan sikap mementingkan diri sendiri perlu disisihkan.

Di samping itu, setiap pasukan yang dibentuk perlu menjaga api lilin yang telah diberi walaupun dalam usaha melaksanakan misi. Lilin ini merupakan simbol bahawa dalam menjayakan setiap misi, integriti dan prinsip tidak boleh tergadai. Integriti perlu tertanam kukuh supaya setiap tugasan atau misi dapat dilaksanakan tanpa melanggar prinsip dan peraturan yang ditetapkan.

Pasukan sukarelawan ini juga diberikan tugas untuk menguruskan program Karnival Celik Kewangan Islam di Sekolah Kebangsaan Siong pada hari terakhir program. Mereka diberi tugasan untuk mengacarakan majlis, menjadi fasilitator program celik kewangan bersama pelajar sekolah SK Siong, menguruskan gerai makanan dan sebagainya. Program ini adalah sebagai medan ujian pertama setelah latihan dan kemahiran yang diterapkan pada hari pertama dan kedua program.