KUALA LUMPUR: Ibu kandung kepada tiga beradik berusia setahun, empat dan lima tahun yang ditinggalkan di rumah pengasuh mereka di pangsapuri di Bandar Sri Permaisuri, Cheras sejak Mac lalu sedang dicari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tiga beradik itu ialah Ian Eusoff Abdullah, 5, Imaan Isabela Abdullah, 4, dan Qaseh Maryam Inara, 1, yang ditinggalkan kepada pengasuh, Puan Bibie.
Mereka ditinggalkan ibu mereka yang dikenali sebagai Aishah Irene berusia 38 tahun yang dilaporkan hilang dalam tempoh enam bulan tersebut.
Dalam hantaran di Facebook JKM Wilayah Persekutuan meminta ibu kandung atau waris kepada tiga beradik ini untuk tampil bagi memudahkan urusna penempatan mereka.
Ibu kanak-kanak tersebut gagal dihubungi selepas berjanji akan mengambil mereka kembali setelah urusannya selesai, namun ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sehingga menyukarkan pengasuh menguruskan mereka terutama berkaitan kesihatan.
Menurut pengasuh ketiga kanak-kanak itu lagi, ibu kandung mereka yang dikenali dengan nama Aisyah Irene pernah bekerja sebagai jururawat di hospital swasta.
Pengasuh berkenaan kemudiannya telah membuat laporan polis berhubung penyerahan kanak-kanak ini ke JKM untuk diberikan perlindungan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada Pegawai JKM, Shukor Salleh Laslile dengan menghubungi talian 03-26124000 atau e-mel shukor@jkm.gov.my atau hadir ke pejabat JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Tingkat 9, Grand Seasons Avenue, Jalan Pahang.