UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

ICF 2023 perkasa agenda pengantarabangsaan, beri pengalaman baru untuk pelajar UUM

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar CIAC/UUM Today

GELUGOR: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) dan UUM Global Buddies Club (GBC) telah menyertai International Cultural Fiesta (ICF) 2023 yang bertemakan ‘Back to the Playground’ di Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.

Program ICF anjuran International Mobility and Collaboration Centre (IMCC), USM dengan kerjasama USM Buddies ini turut disertai Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Timbalan Pengarah (Mobiliti Antarabangsa), USM, Prof. Madya Dr. Mohd Hafizal Mohd Isa berkata, program ICF itu merupakan antara program berskala besar yang diadakan pada setiap tahun di USM bertujuan untuk memperkasakan pengantarabangsaan melalui agenda ‘Internationalisation at Home’.

Selain itu, menurutnya, ia membuka peluang antara pelajar tempatan dan antarabangsa untuk berinteraksi dan mewujudkan pengintegrasian bangsa, budaya dan bahasa.

Bersempena dengan penganjuran program ICF ini juga, pelajar dan perwakilan Buddies Club daripada universiti awam lain juga dapat mempelajari selok belok pengurusan acara dan program berskala besar.

Program ICF kali ini melibatkan dua sesi iaitu pameran 16 reruai antarabangsa yang dikelola oleh pelajar antarabangsa USM dan sesi persembahan kebudayaan dan tarian oleh pelajar antarabangsa USM. UUM GBC juga telah menjadi sukarelawan bagi membantu USM Buddies.

Program ICF ini turut mengadakan pertandingan nyanyian lagu Melayu yang hanya disertai sembilan pelajar antarabangsa sahaja.

Pelajar Semester 7, Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa UUM, Muhammad Thoriq Albaasith atau nama pentasnya, Galba Lesmana dari Indonesia yang mempertaruhkan lagu Isabella nyanyian kumpulan Search telah muncul johan pertandingan tersebut dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM250.

Sementara itu, Presiden, UUM GBC, Narmatha Devi Jayakumar berasa kagum melihat semangat kerjasama dan kelancaran program ICF anjuran IMCC dengan kerjasama USM Buddies.

“Melalui penyertaan pada program ICF ini, UUM GBC telah menimba pengalaman baru dan berharap agar keseluruhan ahli UUM GBC akan mampu menganjurkan program berimpak tinggi seperti ini di masa hadapan di UUM,” katanya.

Pengurus CIAC, Prof. Madya Ts. Dr. Norliza Katuk pula yakin penyertaan barisan kepimpinan UUM GBC pada program ICF ini mampu memberikan pendedahan berharga buat mereka untuk meningkatkan kemahiran inter-personal, kepimpinan dan penyelesaian masalah.

Tambah beliau, penganjuran program seumpama ini juga adalah satu platform yang amat baik untuk membina jaringan antara pelajar daripada pelbagai institusi dan beliau berharap agar semua ahli UUM GBC akan dapat merencanakan pelbagai program pengantarabangsaan di UUM pada tahun hadapan. – Mohd Azri Abdul Aziz