Gambar Dr. Yurita Yakimin Abdul Talib/UUM Today
PERAI: Accounting Information Systems Research and Development Institute (AISRED) dengan Kerjasama Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) telah menjayakan program ‘International Conference on Information Systems in Accounting and Business’ (ICISAB) 2023 pada 19 dan 20 Jun lalu.
Dekan TISSA-UUM, Prof. Dr. Ram Al-Jaffri Saad berkata, AISRED dan TISSA-UUM komited untuk menyediakan platform kepada penyelidik, pakar dan pengamal tempatan dan antarabangsa untuk bersama-sama bertukar idea dan berkongsi hasil penyelidikan dan penemuan.
Katanya, melalui platform persidangan tersebut, ia dapat memupuk kerjasama dan perkongsian pengetahuan dalam bidang perakaunan dan teknologi.
“Saya ingin berterima kasih kepada ahli jawatankuasa penganjur kerana telah berjaya menunjukkan kerjasama dalam penganjuran persidangan ini.
“Di samping itu, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penceramah ucaptama, pembentang, fasilitator, peserta dan penaja atas kesudian mereka berkongsi dan menyumbang kepada kejayaan persidangan ini. Semoga kolaborasi sebegini yang selari dengan agenda universiti akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya mewakili Naib Cancelor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan.

Bertemakan ‘Reshaping Business with Advancing Innovative Technologies‘, persidangan selama dua hari itu disertai 60 peserta.
Hari pertama persidangan, Pengasas Epic Valley Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Prof. Dr. Fng Ah Seng yang juga Profesor Adjung TISSA-UUM telah menyampaikan ucaptama beliau dan Prof. Dr. Michael Davern dari University of Melbourne.
Penceramah ucaptama pertama telah menekankan kepentingan ‘leadership’ di era baharu di mana perniagaan telah mengalami transformasi yang luar biasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan kemajuan pesat dalam teknologi.
Manakala penceramah ucaptama kedua memfokuskan kepada penggunaan teknologi seperti Artificial Intelligent (AI) dalam analisis data perakaunan dan bagaimana akauntan dapat memanfaatkan teknologi dalam tugasan harian.

Pada hari kedua persidangan telah diadakan bengkel analisis data menggunakan software SmartPLS yang telah dijayakan oleh Prof. T. Ramayah Professor of Technology Management, School of Management, Universiti Sains Malaysia.
Seramai 32 orang peserta dalam kalangan pensyarah dan pelajar universiti seluruh Malaysia telah mendapat manfaat daripada bengkel itu.