UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

Iftar asasi pengurusan wadah erat ukhwah dan hayati nilai positif

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Gambar Muhammad Shamsul Shafie/UUM Today

SINTOK, 25 Mac – Iftar menjadi platform pelajar asasi pengurusan untuk hayati nilai positif di bulan Ramadan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, Majlis Iftar Jamaie yang diadakan pada hari ini (semalam) diharapkan dapat meningkatkan ukhwah sesama umat Islam dan bukan Islam.

Menurutnya, beliau berkongsi kegembiraan sebagai umat Islam ketika berbuka puasa bersama pelajar-pelajar bukan Islam yang turut hadir merasai keseronokan berbuka puasa.

“Ini adalah satu ibadat yang dapat mempamerkan satu bentuk budaya hidup seorang Islam.

“Selain itu, dimaklumkan bahawa pelbagai program menarik sepanjang bulan Ramadan telah dirancang dan dilaksanakan seperti Tayangan Video Qur.Si, Tadarrus Al-Quran, Khatam Challenge, Edaran KasihBubur Lambuk, Dialog Agama dan Khatam Al-Quran Perdana.

“Saya berharap melalui pengisian program ini akan menjadi satu inisiatif yang sangat baik dalam usaha mendidik anak muda melazimkan bacaan Al-Quran dan mengimarahkan bulan Ramadan serta membentuk jati diri pelajar yang lebih unggul dan holistik,” katanya di Majlis Iftar Jamaie Peringkat Pusat Asasi Pengurusan Bagi Tahun 2024/1445 Hijrah di Masjid Sultan Badlishah, semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelajar Asasi Pengurusan 2023/2024, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal berkata, Majlis Iftar Jamaie Pusat Asasi Pengurusan bagi Tahun 2024 merupakan majlis bagi meraikan pelajar asasi yang berpuasa di kampus pada tahun ini, di samping mengeratkan ukhwah silaturahim sesama warga UUM, khususnya pelajar agar dapat menghayati nilai positif di bulan Ramadan yang penuh barakah ini.

Menurutnya, Pusat Asasi Pengurusan bersama Persatuan Pelajar sesi 2023/2024 telah melaksanakan pelbagai inisiatif program bagi memastikan pelajar terus produktif sepanjang bulan Ramadan pada tahun ini.

Katanya, program yang berorientasikan elemen kerohanian dan kesukarelawanan diterapkan sepanjang berpuasa, antaranya program Edaran Kasih: Barakah Ramadan dan Program Khatam Al-Quran yang dikendalikan oleh pelajar.

“Program-program yang telah dilaksanakan ini amat penting bagi memastikan bulan Ramadan pada tahun ini dapat dihayati bersama serta mengimbangi pelajar dari aspek rohani dan jasmani.

“Selain itu, saya berterima kasih atas sumbangan berbentuk bantuan kewangan kepada pelajar program asasi pengurusan telah membantu rakan-rakan yang memerlukan sokongan sepanjang berpuasa di sini,” katanya.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan Ramadan kepada 10 pelajar terpilih, diikuti takzirah Ramadan, solat Maghrib dan Isyak serta tarawih.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman dan pegawai-pegawai kanan universiti.