UUM Today

Your Reliable Digital Information

Powered by DaysPedia.com
Time in %PlaceName now
1023

“Iftar Berpada, Raya Bergaya” tingkat penjagaan kesihatan di bulan Ramadan

Nordiana Shafiee

Nordiana Shafiee

UUM News Editor, Journalist

Oleh Salina Abdullah

Gambar Mohd Mahadi Mohd Razani/UUM Today

SINTOK, 26 Mac – Pusat Pengajian Kerajaan (SoG), Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Jawatankuasa Kebajikan, Keceriaan, Sukan dan Rekreasi (JKKSR) mengambil langkah proaktif berkongsi tips penjagaan kesihatan di bulan Ramadan dalam kalangan warga di Dewan Angsana, EDC UUM, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Keceriaan, Sukan dan Rekreasi, Dr. Zuriana Zahrin berkata, menyedari kepentingan penjagaan kesihatan di bulan puasa, jawatankuasa telah menganjurkan Program SoG Prihatin Kesihatan Warga (SPKW) bagi memberi kesedaran kepada warga agar tahu cara pemakanan yang terbaik semasa Ramadan.

“Tubuh kita tetap memerlukan enam hingga lapan gelas air setiap hari. Oleh itu, pastikan kita tetap minum air putih dengan secukupnya selepas waktu berbuka,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan, Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti, Dr. Asfarina Abdul Razak berkata, makanan yang manis serta mudah dihadam seperti kurma, buah-buahan atau jus dapat memberi tenaga segera kepada tubuh.

Menurutnya, masyarakat juga dinasihatkan melewatkan waktu bersahur, sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak dengan mengambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti mil penuh atau oat supaya berasa kenyang dalam tempoh masa yang lebih lama.

“Kewujudan pelbagai juadah yang tersedia sepanjang Ramadan boleh mempengaruhi masyarakat untuk melupakan seketika amalan makan secara sihat.

“Antara amalan baik yang boleh dilakukan adalah menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktu Maghrib,” katanya dalam slot ceramah kesihatan.

Dr. Asfarina berkata, selain mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang boleh membekalkan serat, elakkan daripada makan masakan pedas dan berempah yang boleh mengakibatkan ketidakselesaan perut sewaktu berpuasa.

Menurutnya, masyarakat juga dinasihatkan mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi garam yang tinggi untuk mengurangkan rasa haus dan minuman berkafein seperti teh, kopi atau minuman berkarbonat yang boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.

Dekan, Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid berkata, perkongsian tentang pemakanan yang sihat dapat memupuk kesedaran, kepekaan dan keprihatinan warga terhadap kesihatan kerana banyak penyakit kronik dapat dielakkan dengan mengamalkan pemakanan yang sihat ini.

“Penyakit kronik boleh dielakkan dengan mengamalkan makan dengan berwaspada dan secara sederhana selain mengandungi bijirin penuh, buah-buahan, sayur-sayuran, protein tanpa lemak dan minyak yang sihat.

“Saya berharap semua dapat menjaga pemakanan demi kesejahteraan hidup,” katanya.

Dalam majlis sama, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan telah menyempurnakan Pelancaran Tabung Infaq Ramadhan SoG dan Penyampaian Sumbangan Bakul Ramadan kepada tiga pelajar golongan B40 fakir miskin yang terpilih.

Turut hadir, isteri beliau, Jainon Ngaini dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.